'Rafizi 'arkitek' dalam parti, berani beri kritikan'

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Norazizi)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Norazizi)
A
A
A

SEREMBAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau menyambut baik penyertaan kembali bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ke arena politik.

Setiausahanya, Norazizi A Aziz berkata, pengumuman Rafizi untuk bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR juga dapat merancakkan lagi pemilihan parti kali ini.

“Selamat kembali Rafizi. PKR adalah parti yang meraikan demokrasi dan amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bertanding pemilihan, kerana akhirnya anggota parti yang akan memilih.

“Suka atau tidak, kita kena akui Rafizi adalah ‘arkitek’ dalam parti kerana beliaulah yang membawa isu-isu yang dekat dengan rakyat yang akhirnya menjadi antara faktor kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurutnya, PKR amat memerlukan sentuhan dan idea-idea politik progresif sesiapa sahaja yang boleh memberi nilai tambah kepada parti serta mampu melonjakkan kembali sokongan rakyat kepada parti.

Ujarnya, setakat ini masih belum nampak faktor 'wow' pada Pakatan Harapan(PH) untuk melonjakkan kembali sokongan rakyat.

"Semua kenal Rafizi dengan sikap beraninya yang memberi kritikan terbuka termasuklah soal keputusan pimpinan parti PKR yang menerima penyertaan ‘katak-katak berprinsip’ ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Atas sebab itu, PKR memerlukan pemimpin seperti Rafizi yang mampu menyanggah tindakan kurang tepat bukan calon yang menyokong membuta tuli dan menjadi ‘Yes Man’," katanya.

Artikel Berkaitan:

Norazizi berkata, perlu ada semak dan imbang dalam parti agar tidak lari dari landasan perjuangan.

Sementara itu beliau berharap pemilihan PKR kali ini tidak menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti.

“Anggota-anggota PKR sudah matang dan bijaksana dalam membuat pilihan.

"Pemilihan PKR juga adalah pengundian satu anggota satu undi. Kita boleh boleh pilih berdasarkan 'track record' mereka yang nak bertanding,"katanya.