PRN Melaka: Ab Rauf perlu jawab isu 55 projek tertangguh

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh perlu tampil menjelaskan status terkini 55 projek pembangunan negeri yang masih belum dimulakan, sebelum meminta mandat baharu daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), G Sivamalar berkata, selepas hampir 17 bulan, rakyat berhak mengetahui perkembangan sebenar projek-projek berkenaan termasuk jumlah yang telah disiapkan, masih tertangguh atau belum dimulakan.
Menurutnya, Ab Rauf perlu membentangkan rekod pelaksanaan projek berkenaan secara terbuka supaya rakyat dapat menilai prestasi pentadbiran negeri berdasarkan hasil kerja dan bukan sekadar pengumuman pembangunan.
"Pada 10 Jun 2025, Ketua Menteri memaklumkan bahawa daripada keseluruhan 241 projek pembangunan negeri, sebanyak 86 projek telah siap, 100 sedang dilaksanakan, manakala 55 projek masih belum bermula.
"Ini bermakna hampir satu daripada empat projek pembangunan negeri belum dimulakan ketika pengumuman tersebut dibuat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jelasnya, lebih membimbangkan, sehingga 31 Mei 2025, hanya RM19.52 juta atau 22.18 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan negeri berjumlah RM88 juta telah dibelanjakan.
“Angka-angka ini menggambarkan kedudukan pada tahun 2025. Namun, selepas hampir 17 bulan, rakyat wajar diberikan gambaran terkini tentang kemajuan sebenar pelaksanaan projek-projek tersebut.
“Adakah kesemua 55 projek itu kini telah dimulakan? Berapa yang sudah siap? Berapa yang masih tertangguh?” soalnya.
Menurut Sivamalar, di sebalik angka berkenaan, terdapat kemungkinan projek yang melibatkan kemudahan awam, infrastruktur dan pembangunan yang amat diperlukan penduduk serta sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat Melaka.
Jelasnya, setiap projek yang tertangguh berpotensi memberi kesan kepada masyarakat yang menantikan kemudahan dan pembangunan berkenaan kerana rakyat bukan sekadar mahu melihat angka dalam laporan, sebaliknya hasil pembangunan yang boleh dinikmati.
Beliau berkata, pihaknya memahami pelaksanaan projek pembangunan boleh berdepan pelbagai kekangan, termasuk urusan perolehan, kelulusan teknikal, isu tanah, masalah kontraktor dan kelewatan penyaluran peruntukan.
Bagaimanapun, katanya, kekangan pentadbiran tidak boleh dijadikan alasan berpanjangan tanpa penjelasan serta tindakan penyelesaian yang jelas.
“Selaku Ketua Menteri, Ab Rauf bertanggungjawab memastikan penyelarasan antara agensi berjalan dengan berkesan dan setiap halangan pelaksanaan ditangani secara proaktif,” jelasnya.
Justeru, Sivamalar menggesa Kerajaan Negeri Melaka menerbitkan senarai penuh 55 projek berkenaan, termasuk lokasi, nilai peruntukan, agensi pelaksana, jadual asal, status pelaksanaan terkini serta sasaran penyiapan bagi projek yang masih berbaki.
Selain itu, kerajaan negeri juga perlu menjelaskan kedudukan sebenar peruntukan yang telah diluluskan, dana yang sudah disalurkan dan jumlah perbelanjaan yang dibuat supaya rakyat dapat menilai prestasi pelaksanaan secara adil serta berdasarkan fakta.
“Jika projek-projek tersebut sudah siap, tunjukkan hasilnya kepada rakyat. Jika masih tertangguh, jelaskan puncanya dan bentangkan pelan penyelesaiannya.
“Ini bukan soal mencari kesalahan semata-mata. Ini soal kebertanggungjawaban dalam mengurus wang rakyat dan memastikan setiap peruntukan pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang nyata,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


