Rafizi umum kembali berpolitik, akan bertanding Timbalan Presiden PKR

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengambil keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik selepas lebih dua tahun berehat dengan mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu akan datang.

Menurutnya, keputusan yang diambil itu berdasarkan perkembangan terbaharu dan politik progresif pelbagai bangsa sedang berada dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

“Selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, saya menyedari bahawa PKR dan PH telah ditolak rakyat hingga jatuh menjadi gabungan ketiga selepas UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Saya menganggotai PKR sejak 1999 kerana saya yakin masa depan Malaysia adalah satu masa depan yang progresif, berbilang bangsa dengan citra idea yang pelbagai.

“Sumbangan saya menubuhkan PH pada tahun 2015 bukanlah semata-mata demi kemenangan dalam pilihan raya, saya bertekad memastikan politik progresif pelbagai bangsa di negara ini dapat dipertahankan ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Rafizi yang merupakan Naib Presiden PKR berkata, sejak 2019 beliau telah menyuarakan pandangan tidak bersetuju dengan kegilaan membentuk gabungan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira sentimen rakyat demi untuk mendapat kuasa.

“Suara saya menjadi suara minoriti dalam kalangan pimpinan PKR, apatah lagi di kalangan PH. Saya mengambil tanggungjawab bahawa saya tidak boleh berada di dalam kepimpinan yang strategi dan keputusannya saya tidak bersetuju.

“Jika saya kekal, maka saya perlu menyokong keputusan itu. Jika saya tidak menyokong, saya tidak boleh kekal menjadi sebahagian daripada pimpinan. Ini adalah asas utama prinsip pertanggungjawapan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rafizi turut mendedahkan bahawa beliau berterusan mendapat desakan daripada pendukung parti itu dan PH daripada kalangan rakyat biasa agar kembali ke gelanggang politik.

“Saya mengambil masa yang panjang kerana saya tidak yakin boleh membantu keadaan dalam keadaan pandangan saya adalah pandangan minoriti dalam kalangan pimpinan PKR dan PH.

“Saya berpendapat kegilaan mencatur sokongan di peringkat atas sehingga PKR dan PH nampak terpisah dan kaku dari suara rakyat akan dihukum oleh rakyat.

“Jika PKR dan PH ingin menambat kembali hati rakyat, kembalilah berjuang habis-habisan untuk memudahkan kehidupan rakyat,” jelasnya.

Tegas Rafizi, mereka seharusnya bukan sahaja menuding jari antara satu sama lain tetapi membawa penyelesaian yang masuk akal bagi meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka boleh menjadi lebih baik jika memilih PKR dan PH.

“Usaha menambat hati rakyat seperti ini lebih memenatkan berbanding berbincang di meja rundingan atau di restoran mahal mengenai gabungan politik.

“Sebab itu saya faham kenapa lebih mudah untuk memilih jalan bergabung politik daripada menambat hati rakyat,” katanya.

Saya telah menerima pandangan rakan-rakan yang memohon saya kembali ke gelanggang politik dengan bertanding jawatan Timbalan Presiden @KEADILAN

Berikut ialah kenyataan penuh saya:https://t.co/ya4LMboLwi

ps: Kucing saya Kristi tetap tidak bersetuju. pic.twitter.com/8SPzmtyo1I

— Rafizi Ramli (@rafiziramli) March 15, 2022