PRN Melaka: 'Wang rakyat mesti dilindungi' - Adly desak status projek terbengkalai didedahkan

Adly (dua dari kiri) pada sidang akhbar PRN Melaka. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
Adly (dua dari kiri) pada sidang akhbar PRN Melaka. Foto SINAR HARIAN/NORAFIZA JAAFAR
A
A
A

MELAKA - Pakatan Harapan (PH) Melaka menggesa kerajaan negeri mendedahkan secara telus kedudukan projek-projek terbengkalai termasuk jumlah perbelanjaan, pihak bertanggungjawab serta perancangan untuk memulihkannya.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, semakan terhadap projek berkenaan perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa mengira pihak yang meluluskannya kerana keutamaan utama adalah melindungi wang rakyat.

Menurutnya, antara projek yang perlu diberi perhatian ialah Monorel Melaka yang menelan kos kira-kira RM16.5 juta serta projek Arab City.

“Asas kita bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi bagi PH, prinsipnya jelas iaitu wang rakyat mesti dilindungi.

“Setiap projek terbengkalai perlu disemak secara telus tanpa mengira pihak yang meluluskannya. Rakyat berhak mengetahui berapa banyak wang sudah dibelanjakan, ke mana wang itu disalurkan dan siapa yang bertanggungjawab memulihkan projek berkenaan.

“Ukuran sama mesti terpakai kepada semua pihak termasuk PH sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Jabatan Pilihan Raya PH di Bilik Gerakan Utamanya di sini pada Isnin.

Turut hadir Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ketua Komunikasi PKR Melaka, Asri Ibrahim dan Ketua Unit Media JPPH, Jonathan.

Mengulas lanjut, Adly berkata, projek terbengkalai yang dibiarkan terlalu lama bukan sahaja menjejaskan imej negeri dan sektor pelancongan, malah boleh mengundang risiko keselamatan kepada pengunjung serta orang awam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek Monorel Melaka misalnya perlu dinilai semula bagi menentukan sama ada ia masih boleh diteruskan menerusi kemasukan pelaburan baharu atau perlu ditamatkan sekiranya strukturnya tidak lagi sesuai digunakan.

“Kita perlu melihat sama ada projek itu boleh ditambah baik dengan membuka peluang kepada pelaburan baharu atau jika strukturnya secara asas tidak boleh digunakan lagi dan mempunyai isu keselamatan, kita tiada pilihan selain menamatkannya.

“Projek-projek ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja sehingga lebih 10 tahun dengan alasan ia dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu,” katanya.

Ujar beliau, kerajaan yang memimpin negeri perlu mempunyai hala tuju dan perancangan jelas bagi menyelesaikan setiap projek terbengkalai dalam tempoh pentadbirannya.

Tambah beliau, ketelusan dalam pengurusan perbelanjaan awam perlu dijadikan amalan berterusan bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!