Kerajaan belum buat keputusan iktiraf UEC: Maszlee

Dr Maszlee. Foto Sinar Harian: Zahid Izzani
Dr Maszlee. Foto Sinar Harian: Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) belum membuat keputusan sama ada untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) atau tidak.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata perkara itu masih lagi dalam peringkat libat urus serta proses mendapatkan pendapat daripada pelbagai pihak.

"Sepertimana yang kita maklum, kami (kementerian) telah menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji dasar UEC, dan hari ini akan diadakan sidang media di pejabat KPM untuk memperkenalkan ahli jawatankuasa serta membentangkan sebahagian daripada aktiviti yang telah dilaksanakan.

"Oleh itu, belum ada keputusan yang dibuat dan sebarang keputusan akan diputuskan di Kabinet,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Yaakob (BN-Bera) yang ingin tahu adakah kerajaan telah mengiktiraf sijil UEC.

Mengenai iklan pengambilan lepasan UEC bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) pula yang menimbulkan kontroversi, Maszlee menjelaskan ia telah dimulakan sejak 2012 ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kementerian tidak pernah melaksanakan dasar diskriminasi terhadap mana-mana bahasa ibunda dalam sistem pendidikan di Malaysia.

"KPM sentiasa memastikan mata pelajaran bahasa ibunda dikemas kini dalam aspek kurikulum, bahan bantu belajar dan kaedah pengajaran dan pembelajaran agar bahasa berkenaan dilaksanakan dengan berkesan dan penuh kualiti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, keperluan menguasai bahasa Melayu adalah penting untuk memupuk perpaduan dan identiti warga Malaysia, manakala penggunaan bahasa Inggeris bagi membentuk individu yang bersedia bersaing di peringkat antarabangsa di samping bahasa Cina dan Tamil masih dikekalkan sebagai mata pelajaran teras di Sekolah Jenis Kebangsaan.

Beliau menjawab soalan asal Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengkaji semula perenggan-perenggan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilihat mendiskriminasi pendidikan bahasa ibunda. -Bernama