Cuaca panas: KPM belum terima permohonan tutup sekolah

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan (KPM) belum menerima permohonan penutupan sekolah untuk sementara waktu dari mana-mana sekolah dalam negara susulan cuaca panas melampau.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, tiada permohonan dikemukakan termasuklah dari negeri mengalami cuaca panas seperti Kedah dan Kelantan.

Bagaimanapun, Hui Ying berkata, pihaknya akan memantau perkembangan semasa situasi cuaca panas melanda negara meskipun belum ada permohonan untuk sekolah ditutup.

"Setakat ini, belum ada. Jadi, kita mesti berhati-hati dan memantau setiap hari sebab jikalau tidak salah di Kedah pagi panas tetapi pada sebelah petang pula hujan, jadi harap (hujan) ini akan kurangkan haba sikit.

"Tetapi, yang utama cuaca memang hangat jadi mesti kurangkan aktiviti di luar dan kena minum banyak air," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang media selepas lawatan kerja Timbalan Menteri Pendidikan ke sekolah-sekolah di Alor Setar di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rakyat, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew dan ADUN Kota Darul Aman, Teh Swee Leong.

Hui Ying menambah, sekolah akan dibenarkan tutup sementara waktu sekiranya cuaca panas makin meningkat.

"Ya. Ada arahan garis panduan kita sekiranya suhu meningkat sehingga (melebihi) 37 darjah Celsius dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan memantau dan akan tutup sekolah,"katanya.

Beliau menjelaskan, sekolah akan dibenarkan tutup sekiranya cuaca panas melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Sehubungan itu, menurut beliau, pentadbir sekolah boleh memohon penutupan sekolah kepada JPN masing-masing untuk kebenaran berhubung perkara ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, KPM tidak menerima laporan tentang jumlah pelajar yang terkena serangan strok haba.

"Yang di Kluang itu bukan strok haba tetapi kompilasi lain.Bagaimanapun,kita mesti ambil langkah pencegahan untuk memastikan (tiada) kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau turut menasihatkan warga sekolah terutamanya pelajar supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan minum air secukupnya disebabkan cuaca panas ketika ini.

Hui Ying berkata, semua aktiviti luar bilik darjah di sekolah membabitkan pelajar juga ditangguhkan susulan cuaca panas terik tersebut.

Antara lain, beliau menyatakan, KPM turut mengeluarkan kenyataan bahawa kelonggaran diberikan kepada warga sekolah termasuk pelajar untuk memakai t-shirt sukan ke sekolah berikutan kenaikan suhu panas itu.

Sebelum itu, Hui Ying melawat empat sekolah termasuklah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Min, SJKC Keat Hwa S, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Barathy dan SK Taman Rakyat.

Pada lawatan kerja itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk SJKC Peng Min, SJKC Keat Hwa C (RM150,000), SJKT Barathy (RM200,000) dan SK Taman Rakyat (RM150,000) untuk menambah baik sekolah berkaitan.

Sementara itu, beliau menyatakan, isu kekurangan guru akan diatasi segera melalui pengambilan khas guru bukan graduan pendidikan melalui permohonan yang dibuka sebelum ini.