Pembangunan 5G: Malaysia berhak buat keputusan sendiri

 Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa Malaysia mempunyai hak dalam mementukan dasar sendiri berhubung pembangunan rangkaian 5G.

Justeru beliau menyatakan tiada mana-mana pihak boleh mengganggu keputusan kerajaan untuk berbuat demikian.

“Insya-ALLAH, saya akan mengadakan pertemuan dengan duta asing yang terlibat dengan isu ini.

“Tetapi saya percaya sebarang keputusan oleh kerajaan hari ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi tetapi juga dalam satu keadaan yang harmoni dengan isu di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya setelah kita mengadakan perbincangan, pertemuan dan memberikan penjelasan kepada pihak yang terbabit, mereka akan faham pendirian Malaysia,” katanya semasa sidang media Inisiatif 5G di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada amaran yang diberikan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) mengenai potensi peranan Huawei dalam rangkaian 5G negara.

Baru-baru ini, kedua pihak tersebut sudah menulis surat kepada kerajaan pada April lalu selepas ia memutuskan untuk mengkaji semula keputusan pemberian tender bernilai RM11 bilion kepada Ericsson bagi pembangunan rangkaian itu.