Hotel di Kuala Lumpur perlukan hampir 7,000 kakitangan

Sebanyak 146 hotel berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Kuala Lumpur. (Gambar kecil: Jalaluddin)
Sebanyak 146 hotel berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Kuala Lumpur. (Gambar kecil: Jalaluddin)
A
A
A

PUTRAJAYA - Industri perhotelan di Kuala Lumpur memerlukan hampir 7,000 tenaga kerja untuk berkhidmat dalam sektor itu, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau berkata, di Wilayah Persekutuan sahaja terdapat 175 hotel yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya merangkumi 146 di Kuala Lumpur, 22 di Labuan dan tujuh di Putrajaya.

"Isu kekurangan tenaga kerja memberikan impak besar terhadap sektor perhotelan sejak pandemik Covid-19 melanda negara kerana ada kakitangan berhenti kerja dan ada yang ditamatkan khidmatnya.

"Perkara ini perlu dibincangkan dengan beberapa kementerian dan saya juga akan berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berhubung masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi bersama pengusaha hotel di Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa bagi membincangkan isu berkaitan industri perhotelan dan mekanisme untuk menggalakkan semula sektor itu.

Menurutnya antara perkara dibangkitkan ialah caj tarif elektrik yang tinggi, isu berkaitan permohonan dan pembaharuan sijil halal, prosedur operasi standard yang belum jelas serta harga bufet Ramadan yang agak tinggi.

Beliau berkata, isu premis Airbnb dan premis penginapan lain yang tidak berdaftar turut dibangkitkan dalam sesi itu yang memberikan persaingan sengit kepada industri perhotelan.

"Di Kuala Lumpur, tidak kurang daripada 11,000 premis Airbnb dan premis lain dijadikan penginapan pelancong yang jelas memberi kesan kepada sektor perhotelan. Perkara ini juga akan dibincangkan dengan pihak berkaitan berhubung tindakan seterusnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berhubung isu harga bufet Ramadan, Jalaluddin berkata, pihak pengusaha hotel juga bersetuju mengkaji semula kadar yang ditetapkan supaya lebih sesuai dan boleh diterima masyarakat.

Katanya, pihak hotel juga boleh mengemukakan diskaun tempahan awal bufet Ramadan bagi menarik lebih ramai pelanggan atau pelancong untuk menikmati juadah berbuka puasa.

Antara pihak yang hadir pada sesi itu ialah wakil Persatuan Pemilik Hotel Malaysia dan Persatuan Hotel Malaysia. - Bernama