Jawatankuasa siasatan kes Adib minta kerjasama orang awam

Allahyarham Muhammad Adib
Allahyarham Muhammad Adib
A
A
A

SHAH ALAM – Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memutuskan untuk mendapatkan kerjasama daripada orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau bukti bergambar serta video kejadian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, di samping itu mereka yang tidak berpeluang tampil ke depan untuk memberi maklumat boleh menghubungi sekretariat di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Menurutnya, sekretariat itu ialah Yusof Ali yang boleh dihubungi menerusi talian 03-88851920 atau emel: yusof.ali@bheuu.gov.my dan Sanjeetha Nair di talian 03-88851209 atau emel: sanjeetha.nair@bheuu.gov.my.

Wan Junaidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan itu memaklumkan telah mendengar pembentangan Laporan Interim yang merupakan laporan kemajuan daripada ahli-ahli Jawatankuasa Khas Teknikal.

Wan Junaidi
Wan Junaidi

“Laporan ini telah disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu tiga bulan dari tarikh ditubuhkan dan telah dibentangkan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, jawatankuasa khas itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, Laporan Interim berdasarkan maklumat sedia ada serta tindakan diambil bagi mendapatkan fakta lanjut itu dibentangkan oleh Setiausaha Jawatankuasa Khas Teknikal, Profesor Madya Datuk Dr P Sundramoorthy.

“Laporan Interim ini adalah berdasarkan maklumat sedia ada serta tindakan-tindakan yang telah diambil oleh ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal dalam mendapatkan fakta lanjut berkaitan kes ini.

“Proses pencarian fakta ini dilaksanakan secara intensif sejak Januari lalu dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Jelasnya, proses itu penting bagi memastikan laporan yang dihasilkan dapat diterjemahkan dengan telus, adil dan saksama.