Individu positif saringan RTK-Ag tak perlu buat ujian PCR

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Individu yang disahkan positif Covid-19 menerusi kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) tidak perlu membuat pengesahan melalui kaedah Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, individu tersebut boleh terus melakukan pengasingan diri sebaik sahaja disahkan positif melalui RTK-Ag.

"Apabila beralih ke fasa endemik, kita perlu kurangkan kebergantungan kepada ujian RT-PCR dan lebihkan RTK-Ag," katanya menerusi laman sosial, TikTok miliknya pada Isnin.

Menurutnya, pakar kesihatan berpendapat, ujian RTK-Ag sudah memadai untuk mengesan kes positif yang mempunyai tahap kebolehjangkitan tinggi.

"Ia berbanding RT-PCR yang sangat sensitif sehingga individu telah sembuh daripada jangkitan masih dikesan positif apabila membuat ujian menerusi kaedah tersebut," katanya.

Selain itu, beliau berkata, keputusan ujian saringan RT-PCR tidak pantas seperti RTK-Ag.

"Dalam situasi sekarang varian Omicron yang lebih cepat merebak, ujian RTK-Ag adalah lebih efektif kerana tidak perlu tunggu sehingga 48 jam untuk mengetahui keputusan," katanya.

Ujarnya, lebih cepat keputusan ujian saringan diketahui, lebih cepat untuk seseorang individu mengambil langkah pengasingan.

Artikel Berkaitan:

"Adalah lagi baik 1,000 orang buat test RTK-Ag daripada 10 orang buat RT-PCR walaupun lebih sensitif," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, RT-PCR masih boleh digunakan bagi keperluan perjalanan ke luar negara ataupun kembali ke tanah air.

Menyentuh mengenai kualiti kit ujian RTK-Ag, Khairy berkata, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah diarahkan untuk mengambil tindakan terhadap produk yang tidak berkualiti.

"Kita akan terus pantau kit ujian di pasaran untuk memastikan kualitinya dijaga dengan baik," katanya.