MAHB sedia permudah urusan jemaah umrah di lapangan terbang

MAHB akan segera mendapatkan protokol kesihatan terkini daripada kerajaan yang mahu dilaksanakan di lapangan terbang supaya setiap perjalanan itu lebih teratur dan cepat. - Foto Bernama
MAHB akan segera mendapatkan protokol kesihatan terkini daripada kerajaan yang mahu dilaksanakan di lapangan terbang supaya setiap perjalanan itu lebih teratur dan cepat. - Foto Bernama
A
A
A

LUMUT - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan urusan jemaah umrah di lapangan terbang dipermudahkan.

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu perlu memandangkan banyak aduan diterima daripada rakyat Malaysia yang pulang mengerjakan ibadah umrah terpaksa menunggu dalam tempoh lama untuk menjalani prosedur kesihatan yang ditetapkan.

Menurutnya, MAHB sebelum ini telah mengemukakan perkara sama yang berkait rapat dengan masalah teknikal di pihak kerajaan hingga melambatkan proses yang perlu dilalui jemaah umrah.

"Saya yakin pihak kerajaan ambil maklum tentang pandangan-pandangan daripada MAHB dalam kita nak memastikan setiap urusan itu dipermudah.

"Saya sendiri telah melawat beberapa kali (keadaan jemaah pulang di lapangan terbang) sebelum ini untuk melihat keadaan itu.

"Jadi di pihak MAHB, kita sedang berurusan dengan KKM, MKN termasuk Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) sendiri tentang perkara ini agar kita dapat menyediakan pemudah cara kepada proses-proses yang nak dilaksanakan oleh kerajaan di lapangan terbang," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung di sini yang turut dihadiri Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Hani Ezra Hussin.

Zambry berkata, keadaan itu perlu diatasi segera bagi mengelak impak lebih besar menjelang pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April ini.

Artikel Berkaitan:

Zambry membantu memakaikan beg kepada seorang penerima sempena Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung pada Isnin.
Zambry membantu memakaikan beg kepada seorang penerima sempena Program Ceria Kembali ke Sekolah #MyAirportCARES di Dewan Merdeka Seri Manjung pada Isnin.

Sehubungan itu katanya, MAHB akan segera mendapatkan protokol kesihatan terkini daripada kerajaan yang mahu dilaksanakan di lapangan terbang supaya setiap perjalanan itu lebih teratur dan cepat.

"Kerajaan ada protokol kesihatannya sendiri dan setiap keputusan yang mahu dibuat MAHB perlulah bergantung kepada keputusan dibuat kerajaan," katanya.

Dalam majlis itu, seramai 1,500 pelajar sekolah rendah dan menengah dari daerah Manjung menerima pek ceria kembali ke sekolah menerusi Program Tanggungjawab Korporat (CR) Malaysia Airports.

Sumbangan keseluruhan bernilai RM225,000 itu berupa barangan kelengkapan asas sekolah seperti pakaian seragam, beg, kasut dan alat tulis serta pelitup muka.

Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, inisiatif itu bertujuan memberi sokongan dan dorongan kepada pelajar agar lebih bersemangat untuk menghadapi sesi persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi, terutama bagi mereka yang terkesan dari segi kehidupan harian akibat pandemik Covid-19.

"Dengan peralihan negara ke fasa endemik, pelajar-pelajar ini dapat kembali ke sekolah secara fizikal setelah mengharungi cabaran pembelajaran dari rumah hampir dua tahun.

"Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, ini merupakan kali keempat MAHB menganjurkan program pengagihan pek ceria kembali ke sekolah yang telah berjaya memberi manfaat hampir 3,500 pelajar secara keseluruhan," katanya.

Zambry berkata, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang bertanggungjawab, Malaysia Airports selaku pengendali lapangan terbang utama negara amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan komuniti sekeliling.

Katanya, di Perak sahaja, Malaysia Airports mengendalikan dua daripada 39 lapangan terbang di seluruh negara iaitu Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh dan juga STOLport Pulau Pangkor.

"Dengan pembukaan semula STOLport Pulau Pangkor, boleh membantu memulihkan ekonomi dan merancakkan lagi industri pelancongan tempatan," katanya.