Selangor terima 772 cadangan pemulihan infrastruktur pasca banjir

Sultan Sharafuddin bertitah semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Isnin. - Foto Media Selangor.
Sultan Sharafuddin bertitah semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Isnin. - Foto Media Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menerima 772 cadangan pemulihan infrastruktur pasca banjir daripada daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membabitkan kos sebanyak RM519.42 juta.

Sehubungan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan kerajaan negeri menitikberatkan aspek mitigasi dan adaptasi untuk melaksanakan rancangan pemulihan tersebut, dalam masa sama menghadapi perubahan iklim.

Baginda bertitah, tindakan mitigasi melibatkan pelbagai langkah mengurangkan aktiviti pelepasan gas rumah hijau (GRH) yang merupakan salah satu punca utama pemanasan global, manakala, adaptasi meliputi tindakan membantu masyarakat dan ekosistem berhadapan dengan perubahan iklim.

"Isu pemanasan global kini berada pada tahap yang membimbangkan akibat pelepasan GRH berikutan pelbagai aktiviti manusia secara tidak terkawal seperti penggunaan lebih banyak bahan api fosil terutamanya batu arang, penebangan hutan secara berleluasa serta perubahan guna tanah tidak lestari.

"Jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GRH, dunia dijangka berdepan dengan bencana alam yang dahsyat pada skala yang lebih besar.

"Beta difahamkan bahawa Kerajaan Beta telah melaksanakan tindakan-tindakan strategik untuk mengukuhkan daya tahan Selangor terhadap impak perubahan iklim ini," titahnya semasa ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tahun 2022 di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah, jumlah kejadian banjir meningkat sejak 20 tahun lalu dengan kerugian dianggarkan melebihi RM8 bilion.

Namun, ia tidak termasuk kerugian yang dialami oleh negara berikutan bencana banjir besar pada Disember tahun lalu yang merekodkan kerugian RM6.1 bilion, dengan Selangor mencatat kerugian terbesar iaitu RM3.1 bilion.

Artikel Berkaitan:

Rentetan daripada bencana tersebut, baginda bertitah bahawa kerajaan negeri mengaktifkan sebanyak 227 pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan lebih daripada 47,000 mangsa banjir dengan 3,503 aset dan keperluan logistik digerakkan ke kawasan terjejas.

"Beta ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada lebih 20,000 orang petugas dari pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang membantu sepanjang operasi banjir.

"Mobilisasi petugas ini membolehkan operasi menyelamat serta kerja-kerja pembersihan pasca bencana dapat dilaksanakan dengan kadar segera untuk memastikan rakyat terjejas dapat meneruskan kehidupan.

"Tidak dilupakan juga ucapan penghargaan kepada lebih 50,000 sukarelawan yang turut membantu kerajaan negeri semasa kejadian tersebut, khususnya daripada Team Selangor dan badan sukarelawan Selangor Volunteer (SERVE) yang menggerakkan operasi pembersihan pasca banjir di semua lokasi yang terkesan.

"Kerajaan Beta juga proaktif menyalurkan bantuan meliputi bantuan semasa banjir berlaku dan selepas banjir surut bagi meringankan beban mangsa dengan menyalurkan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah RM106 Juta," titahnya.

Pada Disember lalu, Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM369.5 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur meliputi jalan raya, bangunan dan kemudahan awam yang terjejas akibat banjir.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM142.4 juta diperlukan untuk projek pembaikan kategori darurat (secepat mungkin), manakala kerja-kerja kategori segera berjumlah RM177.9 juta dan kategori biasa berjumlah RM49.2 juta.