Tipu dalam talian libat kerugian RM21.7 juta

i Alexander Nanta Linggi
i Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima sebanyak 24,018 aduan berkaitan penipuan dalam talian dan media elektronik dalam tempoh kira-kira dua tahun sehingga 17 Februari lalu melibatkan kerugian sebanyak RM21.7 juta.

Justeru, kementerian itu kini bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membanteras kegiatan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KPDNHEP juga juga sedang dalam proses menguatkuasa perundangan transaksi dalam talian menerusi pindaan Akta Perdagangan Elektronik 2006 melibatkan Multimedia Development Corporation (MDeC), pengendali tapak pasar dalam talian dan pemain industri berkaitan tindakan penguatkuasaan secara lebih bersepadu selaras dengan Pelan Hala Tuju Strategik eDagang (NESR).

"Kita juga telah meminda serta mengubahsuai pindaan dan akta yang dikuatkuasakan.

“KPDNHEP meminda Rang Undang-Undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 melibatkan perluasan skop tangkapan tanpa waran bagi mengekang perbuatan jenayah di bawah akta tersebut serta peruntukan pindaan yang membolehkan penjualan dibuat bagi barang sitaan jenis mudah rosak, mudah terbakar dan berkos tinggi,",” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Pandan) yang ingin tahu jumlah kerugian terkini daripada penipuan melalui atas talian dan media elektronik serta tindakan menyeluruh bagi menangani isu berkenaan.

Dalam pada tu Alexander turut memaklumkan, pindaan juga berkaitan pengambilan sampel bagi memudahkan pembuktian pendakwaan di mahkamah.

“Selain itu, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 turut dipinda bertujuan memperluaskan skop jualan langsung dalam usaha menggalakkan amalan perniagaan baik di Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) berkenaan keperluan untuk undang-undang penguatkuasaan di bawah kementerian itu dipinda atau dikemas kini supaya relevan dengan cabaran semasa.

Alexander juga memberitahu, peraturan yang sedang dalam semakan dan diperhalusi untuk dipinda bagi kepentingan industri dan pengguna antaranya Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik), Peraturan-Peraturan Sewa Beli dan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga Dan Antipencatutan.