Dua individu rugi RM16,518, tertarik pinjaman di Facebook

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Dua individu berputih mata selepas kerugian RM16,518 selepas tertarik dengan tawaran pinjaman di Facebook.

Kedua-dua mangsa menetap di daerah Temerloh tertarik dengan tawaran iklan pinjaman wang kelihatan seperti milik syarikat wang berlesen, namun ia sebenarnya taktik licik digunakan sindiket pinjaman tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa pertama merupakan pembantu kedai bunga di Mentakab dikatakan tertarik untuk membuat pinjaman berjumlah RM50,000.

Menurutnya, wanita berusia 48 tahun itu kemudian menghubungi seorang individu dikenali Allen dan mengadakan perbincangan bagi permohonan dan telah diminta membayar sejumlah wang untuk kelulusan pinjaman.

“Mangsa telah membuat pembayaran keseluruhan RM14,700 melalui enam transaksi ke dalam dua akaun berbeza diberikan suspek pada 11 dan 12 Mac lalu sebagai kelulusan pinjaman.

“Bagaimanapun, mangsa mula berasa tertipu apabila tidak menerima apa-apa wang pinjaman walaupun telah membuat pembayaran sehingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, seorang tukang masak di sebuah restoran turut menjadi mangsa kes penipuan pinjaman tidak wujud dengan membabitkan kerugian RM1,818.

Mohd Wazir berkata, lelaki berusia 23 tahun itu berminat dan bersetuju membuat pinjaman wang berjumlah RM6,000 selepas mengadakan perbincangan dengan wakil syarikat berlesen dikenali Khairul Azhar pada Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa membayar RM873 sebagai proses pinjaman berkenaan.

“Mangsa seterusnya membuat pembayaran keseluruhan RM1,818 ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek melalui lima transaksi pada 11 hingga 12 Mac sebagai wang proses pinjaman.

“Mangsa hanya mengesyaki dirinya ditipu apabila masih tidak menerima wang pinjaman tersebut, selain gagal menghubungi suspek," katanya.

Beliau menjelaskan kedua-dua mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada Ahad.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda.

Sehubungan itu, Mohd Wazir berkata, usaha mengesan suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman melalui internet mahupun media sosial dan sebaik-baiknya pinjamlah daripada institusi kewangan yang sah, koperasi berdaftar atau syarikat pemberi pinjaman wang yang berlesen," katanya.