'Saya tunggu setiap hari, nak lihat suami keluar dari runtuhan batu'

Wak Uda bersama anak-anaknya terus menunggu Itam yang masih terperangkap dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, sejak Selasa lalu.
Wak Uda bersama anak-anaknya terus menunggu Itam yang masih terperangkap dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, sejak Selasa lalu.
A
A
A

IPOH - Isteri kepada seorang mangsa runtuhan batu kuari di Keramat Pulai terus menunggu khabar gembira terhadap hasil operasi mencari dan menyelamat yang masuk hari keempat, pada Jumaat dengan mengunjungi lokasi tersebut setiap hari.

Wak Uda Bah Kim, 41, berkata, semua ahli keluarganya mengharapkan suaminya, Itam Bah Lasoh, 43, ditemui dalam apa keadaan sekali pun.

"Setiap hari saya dan anak-anak menunggu. Gerak hati saya kuat mengatakan bahawa suami masih selamat.

"Saya tetap akan tunggu setiap hari sebab nak jadi orang pertama lihat dia keluar dari runtuhan batu itu. Anak-anak ikut sama ke lokasi untuk melihat dari jauh kerja-kerja menyelamatkan bapa mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui berhampiran lokasi kejadian bersama empat anaknya di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, pada Jumaat.

Menurut Wak Uda, dia sentiasa tertanya-tanya mungkin ketika ini suaminya sedang lapar dan kehausan dan begitu berharap lelaki yang jadi tonggak utama dalam keluarga itu segera ditemui.

Tambah Wak Uda, suaminya memang merancang membawa anak-anak mereka bercuti memandangkan ketika ini cuti sekolah tetapi keadaan tidak mengizinkan.

"Kami sekeluarga bergantung harap kepada dia. Kami sangat risau jika dia tidak ada tambahan pula anak-anak akan ikuti sesi baharu persekolahan.

Dalam pada itu, bapa mentua mangsa, Bah Kim Kipak, 64, turut ke lokasi kejadian membawa Wak Uda dan cucu-cucunya.

Artikel Berkaitan:

Dia turut membawa binokular bagi melihat operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan anggota penyelamat disebabkan jarak terlalu jauh.

Pasukan penyelamat meneruskan kerja-kerja pengalihan bongkah-bongkah batu kuari pada hari keempat operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang tertimbus dalam runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini pada Jumaat.