Batu kristal terbesar di Kedah terus jadi tarikan Gunung Keriang

Mahadi menunjukkan batu kristal gergasi seberat satu tan yang kini nilainya telah mencecah RM70,000.
Mahadi menunjukkan batu kristal gergasi seberat satu tan yang kini nilainya telah mencecah RM70,000.
A
A
A

ALOR SETAR - Gunung Keriang yang juga dikenali sebagai ‘Mount Caves’ menawarkan keunikan tersendiri hingga memberi satu pengalaman berharga kepada para pengunjung.

Kewujudan batu kapur ataupun batu bunga (kristal) di Gunung Keriang yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar raya Alor Setar menambahkan keunikan dan keasyikan pengunjung untuk menerokai kawasan tersebut.

Bagaimanapun, proses mengeluarkan batu kristal menuntut kesabaran tinggi selain pencari batu kristal dikhuatiri berdepan risiko kehilangan nyawa jika tersilap langkah.

Oleh kerana itu, batu kristal seberat satu tan yang ditemui di Gunung Keriang kini mampu mencecah harga tinggi disebabkan kesukaran proses mengorek dan mengeluarkan batu itu.

Pencari batu kristal, Mahadi Mat Akhir, 57, berkata, batu kristal gergasi berbentuk bulat dan bahagian tengahnya dipenuhi kristal putih seakan-akan bunga ditemuinya sekitar tahun 2014.

Menurut Mahadi, batu kristal itu memiliki saiz besar berbanding kristal lain, sekali gus mempunyai nilai yang tinggi hingga kini mencecah RM70,000.

“Dari tahun ke tahun, nilai batu kristal gergasi ini akan meningkat disebabkan ia sukar diperolehi,” ujarnya.

Mahadi menjelaskan, nilai batu kristal gergasi itu amat tinggi kerana proses mengeluarkan batu kristal gergasi agak rumit dan memakan masa lama.

“Saya mengambil tempoh lima tahun untuk mencari batu kristal sebelum melakukan proses mengorek batu menggunakan teknik berbentuk ‘zig zag’ bagi memastikan runtuhan tidak berlaku di kawasan digali.

“Setiap hari, saya melakukan proses mengorek batu kristal selama dua jam dalam kawasan gunung yang gelap dengan dibantu dua rakan,” katanya.

Menurut Mahadi, mereka mengambil masa 20 hari demi mengeluarkan batu kristal gergasi menggunakan peralatan khas kerana kedudukan terletak di pelosok dalam gua gunung.

Kata beliau, batu kristal saiz standard pun mengambil masa beberapa hari, maka proses mengeluarkan batu kristal gergasi itu sememang mengambil masa lebih lama disebabkan kesukaran dihadapi.

“Pada peringkat awalnya, kami perlu mengorek dan memotong batu kristal dari dinding gua dengan mengambil masa selama 15 hari dan beberapa hari lagi untuk membawa batu kristal itu keluar.

Mahadi berkata, dia dan rakan-rakannya perlu mengharungi laluan keluar batu yang curam bersama batu kristal dikenali sebagai bunga batu yang amat berat berkenaan.

“Bagaimanapun, kami tekad mengeluarkan batu kristal walaupun berdepan dugaan untuk menaikkannya ke permukaan dari kedudukan 14 meter (m) di pelosok dalam gua,” katanya.

Beliau melahirkan kesyukuran berkat semangat mereka yang tidak putus asa telah membawa kepada penemuan hebat batu kristal terbesar Kedah ditemui di Gunung Keriang.

Mahadi berkata, dia kini meletakkan batu kristal di kedainya demi memberi peluang kepada pengunjung Gunung Keriang menyaksikan keunikan dimiliki batuan kristal gergasi itu.

“Selain batu kristal gergasi, saya turut menjual aneka jenis dan saiz batu kristal dengan harga serendah RM5,” katanya.