Perluas program demokrasi berparlimen di sekolah


Mohd Nazri (kiri), menyampaikan sijil kepada Muhammad Syafiq.
Mohd Nazri (kiri), menyampaikan sijil kepada Muhammad Syafiq.
A
A
A

IPOH – Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Perak menyerahkan kepada pihak Jabatan Penerangan Negeri Perak untuk memilih serta menentukan sekolah bagi tujuan penganjuran Program Amalan Demokrasi Berparlimen bersama SPR kelak.

Pengarah Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak Mohd Nazri Ismail berkata, program berkenaan dilihat lebih kepada program pendidikan sivik sebagai pendedahan baharu kepada pelajar.

Justeru menurutnya, program berkenaan diharapkan dapat memberikan pengalaman sebenar kepada pelajar apabila tiba musim pilihan raya kelak.

“Program ini sebenarnya satu daripada aktiviti kokurikulum pelajar. Dengan pendedahan ini kita lihat bahawa proses pembelajaran melalui pengalaman lebih daripada apa yang mereka dapat daripada buku teks selama ini.

“Kalau daripada buku teks, mereka baca tak akan dapat, tetapi hari ini kita dedahkan semua proses yang terlibat; mereka merasai sendiri proses seperti penamaan calon, calon berkempen dan sebagainya. Kita berikan peluang kepada pelajar, " katanya sempena program Amalan Demokrasi Berparlimen bersama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Dewan Seri Tualang SMK Dato’ Bendahara CM Yusuf Tanjong Tualang, hari ini.

Sempena program berkenaan kesemua peserta telah melalui pengalaman sebenar bagi proses pengundian dibuat bermula daripada penamaan calon, berkempen, hari mengundi dan seterusnya proses mengira undi.

Pada ‘pilihan raya’ yang diadakan sempena program berkenaan, calon Parti Cincin, Muhammad Shafiq Haikal Huri, 17 mendapat majoriti 105 undi bagi menewaskan dua calon lain.

Sementara itu Mohd Nazri berkata, pihaknya memang merancang untuk melaksanakan lagi program berkenaan di sekolah-sekolah lain.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun bagi urusan pemilihan sekolah, ia diserahkan kepada Jabatan Penerangan Perak manakala SPR akan membantu dari segi tenaga pengajar serta pelaksanaan program berkenaan.

“Kalau ikutkan Jabatan Penerangan ada peruntukan yang terhad, kena pilih beberapa sekolah. Namun mereka telah pun mencapai Indeks Prestasi Semasa (KPI) bagi tahun ini.

“Bagaimanapun, jika ada peruntukan lebih, kita masih boleh anjurkan lagi program ini di sekolah lain pula,” katanya.