PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram pada 9 September - SPR

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September manakala hari pengundian pada 9 September - Foto Bernama. Gambar kecil: Abdul Ghani
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September manakala hari pengundian pada 9 September - Foto Bernama. Gambar kecil: Abdul Ghani
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada 9 September.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di sini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK berkenaan.

Mesyuarat itu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada jam 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Abdul Ghani berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Pulai itu adalah yang dikemas kini sehingga 23 Julai 2023.

"DPPR bagi PRK Parlimen Pulai mengandungi seramai 166,653 orang pemilih yang terdiri daripada 165,700 orang pengundi biasa, 927 orang polis dan 26 orang pengundi tidak hadir luar negara.

"DPPR bagi PRK DUN Simpang Jeram pula mengandungi seramai 40,379 orang pemilih yang terdiri daripada 40,373 orang pengundi biasa dan enam orang pengundi tidak hadir luar hegara," katanya.

Beliau berkata, DPPR bagi kedua-dua PRK itu akan mula dijual pada 21 Ogos ini.

Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK itu akan dibuka bermula Khamis.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 22 Ogos bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/ pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media); 12 Ogos bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara); dan 15 Ogos bagi kategori 1C (agensi/organisasi).

"Permohonan undi pos bagi semua Kategori 1A, Kategori 1B dan Kategori 1C dilaksanakan secara dalam talian," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, SPR menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRK bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantìkan yang telah ditetapkan," katanya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperoleh daripada portal SPR di www.spr.gov.my mulai Khamis dan tarikh tutup permohonan pada 15 Ogos.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) bagi PRK Parlimen Pulai ialah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, yang juga digunakan sebagai PPC dan PPRU bagi PRK DUN Simpang Jeram.

Beliau berkata, SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu oleh lima orang penolong pegawai pengurus, bagi menjalankan proses PRK Parlimen Pulai, dan seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu oleh tiga orang penolong pegawai pengurus untuk PRK DUN Simpang Jeram.

"Dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR), akan ditubuhkan untuk memantau aktiviti berkempen sepanjang PRK Parlimen Pulai dan satu PP-KPR bagi DUN Simpang Jeram.

"PP-KPR itu akan dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding," katanya.

Tambahnya, seramai 2,692 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Pulai, dan 678 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Simpang Jeram.

Abdul Ghani berkata, keseluruhan jumlah pusat mengundi bagi PRK Parlimen Pulai sebanyak 49 buah, dengan 297 tempat mengundi atau saluran, yang melibatkan 47 pusat mengundi biasa yang mengandungi 294 tempat mengundi atau saluran, dan dua pusat mengundi awal yang mengandungi tiga tempat mengundi.

PRK DUN Simpang Jeram pula melibatkan 14 pusat mengundi biasa, yang mengandungi 68 tempat mengundi atau saluran, dan tiada pusat mengundi awal.

Semakan maklumat pengundian untuk mengetahui pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dilakukan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124, yang akan dibuka mulai 21 Ogos ini.

Abdul Ghani meminta bakal calon yang ingin bertanding di kedua-dua PRK berkenaan untuk mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus terlibat atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor, sebelum hari penamaan calon untuk memudahkan proses penamaan calon.

"Bakal calon digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal, bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar," katanya.