MDKpr nafi curi ternakan dalam kandang

Kenyataan media Yang Dipertua MDKpr menafikan tuduhan mencuri ternakan (kiri). Sebelum ini sekumpulan penternak lembu dan kerbau mempersoal prosedur operasi tangkapan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas mendakwa haiwan ternakan mereka yang berada dalam kandang dan kawasan persendirian turut disita.
Kenyataan media Yang Dipertua MDKpr menafikan tuduhan mencuri ternakan (kiri). Sebelum ini sekumpulan penternak lembu dan kerbau mempersoal prosedur operasi tangkapan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas mendakwa haiwan ternakan mereka yang berada dalam kandang dan kawasan persendirian turut disita.
A
A
A

KAMPAR - Majlis Daerah Kampar (MDKpr) menafikan tuduhan pihaknya mencuri ternakan di dalam kandang pemilik sebaliknya tangkapan haiwan tersebut dilakukan di Bandar Baru Kampar di sini.

Yang Dipertuanya, Ahmad Suqairy Alias berkata, tangkapan haiwan tersebut dilakukan Bahagian Penguatkuasaan MDKpr ketika mengadakan operasi haiwan merayau pada 23 April lalu pada jam 12 tengah malam di kawasan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), Bandar Baru Kampar.

Jelas beliau, operasi tersebut dilakukan susulan daripada beberapa siri aduan daripada pengurusan KTAR berkaitan haiwan merayau iaitu lembu dan kerbau yang memasuki kawasan kolej tersebut.

"Pada operasi tersebut sebanyak dua ekor kerbau ditangkap oleh Bahagian Penguatkuasaan MDKpr. Namun tuduhan kepada pihak majlis yang mengatakan tangkapan dilakukan di dalam kandang pemilik dan dicuri adalah tidak benar sama sekali.

"MDKpr menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa tangkapan dibuat di kawasan KTAR, Bandar Baru Kampar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN:Penternak dakwa lembu dalam kandang pun disita

Beliau menegaskan MDKpr melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap haiwan merayau bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kesejahteraan penduduk Daerah Kampar secara amnya.

Dalam pada itu, Ahmad Suqairy menjelaskan pihaknya akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan yang dilaksanakan oleh pihak polis.

Artikel Berkaitan:

Pada 29 April lalu, media melaporkan sekumpulan penternak lembu dan kerbau mempersoal prosedur operasi tangkapan oleh PBT itu selepas mendakwa haiwan ternakan mereka yang berada dalam kandang dan kawasan persendirian turut disita.

Susulan kejadian itu, laporan polis dibuat oleh penternak selepas pemeriksaan melalui rakaman video yang diperoleh menunjukkan kerbau terbabit telah ditarik keluar dan dibawa menggunakan kenderaan PBT.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dibuat penternak pada 24 April lepas dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!