Sambutan hari lahir ke-37 pertemuan terakhir Magindran bersama keluarga

Magindran merupakan salah seorang daripada empat mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada Khamis. - Foto Bernama
Magindran merupakan salah seorang daripada empat mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegembiraan sebuah keluarga yang menyambut hari kelahiran A Magindran pada 16 Februari lepas, merupakan pertemuan terakhir selepas mangsa disahkan meninggal dunia dalam tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang, di sini, pada Khamis.

Kakak kepada mendiang Magindran, A. Devi, 40, hanya menyedari kejadian melibatkan adiknya itu pada kira-kira 10 malam tadi, setelah dimaklumkan kenalan adiknya bahawa Magindran terperangkap dalam tanah runtuh sewaktu bekerja.

"Selepas mendapat berita itu, saya terus menelefon Magindran tetapi tiada respons kemudian saya terus menelefon majikannya dan mereka mengesahkan Magindran antara mangsa yang tertimbus.

"Kali terakhir saya dan keluarga bertemu Magindran ialah pada sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-37 pada bulan lepas kerana dia bekerja di Kuala Lumpur manakala keluarganya menetap di Teluk Intan, Perak dan kami akan berjumpa dengannya hanya sebulan sekali,” katanya kepada Bernama di Jabatan Forensik Hospital Ampang di sini pada Jumaat.

Devi berkata, pada sambutan ulang tahun kelahirannya, keluarga menghadiahkan mendiang sebentuk cincin emas dan itulah kenangan terakhirnya bersama mendiang.

Magindran yang bekerja dengan syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki berusia sembilan tahun.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Jabatan Forensik Hospital Ampang di sini, mendapati suasana sugul dengan beberapa ahli keluarga mangsa yang tertimbus dalam tragedi berkenaan mula memasuki pekarangan bangunan itu mulai jam 9.10 pagi tadi.

Difahamkan empat mayat dalam tragedi runtuhan itu hanya dibenar dituntut waris setelah saringan pengesanan wabak Covid-19 dan proses bedah siasat dilakukan yang dijangka selesai pada kira-kira jam 2 petang ini.

Artikel Berkaitan:

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini petang semalam meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas. - Bernama