Beri pendedahan kepada generasi muda

Hasan Ashaari (hadapan, empat kanan) pada program berkenaan.
Hasan Ashaari (hadapan, empat kanan) pada program berkenaan.
A
A
A

IPOH – Generasi muda perlu mendapat pendedahan berhubung amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak, Hasan Ashaari Abu Bakar berkata, pendedahan juga diharapkan dapat membentuk rasa tanggungjawab serta tahu peranan masing-masing bila tiba masanya untuk mengundi kelak.

“Kita dah susun atur bersama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Perak untuk kita ketengahkan pelajar ini mengenai kepentingan sebagai pengundi.

“Bila mereka boleh mengundi nanti, mereka juga akan tahu peranan dan tanggungjawab kepada negara,” katanya sempena program Amalan Demokrasi Berparlimen bersama Suruhanjaya Pilihanraya di Dewan Seri Tualang, SMK Dato’ Bendahara C.M. Yusuf Tanjung Tualang, hari ini.

Tambahnya, program yang julung kali dianjurkan bersama pihak SPR Perak itu telah menarik penyertaan daripada 200 pelajar sekolah berkenaan.

Sementara itu Hasan Ashaari berkata, pihaknya juga merancang untuk menganjurkan lagi program berkenaan pada masa hadapan.

Katanya, selain penganjuran di peringkat sekolah, program berkenaan juga mungkin akan diperluaskan di peringkat daerah serta negeri.

“Kali ini kita pilih sekolah ini untuk berikan ruang dan peluang kepada sekolah bandar. Lagipun sekolah ini antara sekolah yang aktif dengan Kelab Malaysiaku.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai makluman, ada sejumlah 64 Kelab Malaysiaku di bawah Jabatan Penerangan Negeri Perak.

"Kita juga merancang untuk buat program seperti amalan demokrasi, kembara media dan wacana kemerdekaan untuk menarik pelajar,” katanya.