Pahang belum putuskan kebenaran solat tanpa penjarakan fizikal

Pahang masih belum membuat keputusan berhubung kebenaran aktiviti solat berjemaah tanpa penjarakan sosial di seluruh masjid atau surau di negeri ini. Gambar kecil: Syed Ibrahim
Pahang masih belum membuat keputusan berhubung kebenaran aktiviti solat berjemaah tanpa penjarakan sosial di seluruh masjid atau surau di negeri ini. Gambar kecil: Syed Ibrahim
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang masih belum membuat keputusan berhubung kebenaran aktiviti solat berjemaah tanpa penjarakan sosial di seluruh masjid atau surau di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ketetapan baharu mengenai perkara itu masih dalam kajian dan penelitian oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Menurutnya, hasil daripada kajian itu akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk penilaian.

"Keputusan mengenainya bergantung kepada kelulusan MKN (Pahang) dan JKN Pahang yang berada dalam Jawatankuasa Task-force Covid-19 di Pahang.

"Bila perkara itu (solat berjemaah tanpa penjarakan sosial) dipersetujui, kertas kajian itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula fasa peralihan ke endemik pada 1 April ini.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) akhir untuk masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim menjelaskan, setakat ini Pahang mengikut SOP yang sebelum ini dan keputusan mengenai ketetapan akan dimaklumkan kelak.

Artikel Berkaitan: