Tun M akan utus surat terakhir untuk pengundi sebelum 12 Mac

Mukhriz (kiri) ketika bertemu orang ramai bagi membantu calon Pejuang kerusi DUN Larkin di Taman Suria, Larkin, Johor Bahru pada Khamis.
Mukhriz (kiri) ketika bertemu orang ramai bagi membantu calon Pejuang kerusi DUN Larkin di Taman Suria, Larkin, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengutus surat sebagai amanat terakhir untuk pengundi sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri itu akan berbuat demikian sebelum tarikh mengundi pada 12 Mac ini sebagai peringatan dan pesanan akhir beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, Dr Mahathir juga tidak akan turun untuk kali kedua berkempen dalam PRN Johor.

"Saya tidak merasakan dia akan turun berkempen lagi dalam PRN Johor ini tetapi seperti kita tengok sebelum ini dia ada mengutuskan surat kepada pengundi Johor.

"Dan saya rasa ada mesej terakhir yang bakal beliau sampaikan sebelum hari mengundi pada Sabtu ini, insya-ALLAH," katanya ketika ditemui pemberita semasa bertemu orang ramai di Taman Suria di sini pada Khamis.

Turut hadir, calon Pejuang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohamad Riadz Hashim yang akan menyasikan pertembungan enam penjuru di kawasan itu.

Berkenaan kesihatan Dr Mahathir, beliau berkata, keadaannya sudah semakin baik malah sudah mula menghadiri program di Langkawi.

"Alhamdulillah, dia (Dr Mahathir) semakin hari semakin sihat, semalam (Rabu) dia ke Langkawi, jadi nampaknya dia masih bertugas sebagai wakil rakyat di Parlimen Langkawi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 Februari lalu, Dr Mahathir dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas dimasukkan untuk mendapatkan rawatan di pusat berkenaan.

Sementara itu, Muhamad Riadz berkata, cabaran yang dihadapi semasa berkempen adalah memperkenalkan Pejuang kepada pengundi kerana ramai masih tidak mengetahuinya.

Beliau berkata, terdapat dalam kalangan pengundi menganggap Ahli Parlimen Langkawi itu masih bersama-sama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), namun perkara itu segera diberi pencerahan dalam kempen-kempen Pejuang.