Pilih calon yang bekerja, bukan yang banyak cakap

JOHOR BAHRU – Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram disaran membuat pilihan yang bijak pada hari pengundian 11 Julai ini dengan memilih calon yang mempunyai rekod perkhidmatan terbukti, bukannya sekadar lantang berpolitik.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Tiram, Dato' Abdul Halim Suleiman berkata, keutamaan beliau adalah memastikan kesinambungan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat melalui pendekatan yang mendengar, memahami dan menyelesaikan setiap isu yang dihadapi masyarakat setempat.
Menurut beliau, rakyat hari ini semakin matang dalam membuat penilaian dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan retorik atau janji yang sukar ditunaikan.
"Saya percaya rakyat Tiram mahukan seorang wakil rakyat yang bekerja, mudah ditemui dan sentiasa turun padang, bukannya hanya muncul ketika musim pilihan raya atau sekadar pandai bercakap," katanya.
Abdul Halim berkata, BN mempunyai rekod perkhidmatan yang panjang di DUN Tiram dan kejayaan tersebut perlu diteruskan demi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat tidak terhenti.
Ujarnya, legasi perkhidmatan yang dibina oleh penyandang terdahulu, Azizul Bachok telah meletakkan asas yang kukuh dan beliau bersedia meneruskan kecemerlangan tersebut dengan memberikan komitmen sepenuhnya kepada seluruh warga Tiram.
"Apa yang telah dibina sebelum ini adalah amanah yang perlu diteruskan. Saya mahu memastikan setiap usaha baik yang telah dimulakan tidak terhenti, sebaliknya diperkasakan demi manfaat seluruh masyarakat."
Abdul Halim berkata, pengalaman beliau sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa selama dua penggal menjadi bekalan penting untuk memahami keperluan rakyat serta menguruskan pelbagai isu melibatkan pembangunan, kebajikan dan penyampaian perkhidmatan.
Menurutnya, pengalaman tersebut membolehkan beliau terus bekerja tanpa memerlukan tempoh yang panjang untuk menyesuaikan diri sebagai wakil rakyat.
"Pengalaman yang saya miliki bukan sekadar pengalaman politik, tetapi pengalaman mengurus harapan rakyat, menyelesaikan masalah mereka dan memastikan suara mereka dibawa ke peringkat yang sepatutnya," jelasnya.

Abdul Halim yang juga merupakan Setiausaha UMNO Negeri Johor turut menegaskan bahawa statusnya sebagai anak tempatan Tiram memberikan kelebihan kerana beliau memahami sendiri sejarah, perkembangan dan cabaran yang dihadapi kawasan itu sejak sekian lama.
Katanya, hubungan yang rapat dengan masyarakat setempat menjadikan beliau lebih memahami keperluan sebenar penduduk tanpa perlu bergantung kepada laporan semata-mata.
"Saya membesar di sini. Saya melihat sendiri jatuh bangun Tiram dan memahami aspirasi masyarakatnya.
"Sebab itu saya berasa bertanggungjawab untuk terus berkhidmat serta memastikan Tiram terus maju."
Abdul Halim berkata, beliau mahu membawa pendekatan politik yang lebih matang dengan memberi fokus kepada penyelesaian masalah rakyat berbanding mencetuskan polemik yang tidak memberikan manfaat kepada masyarakat.
Menurut beliau, kepercayaan rakyat merupakan amanah besar yang hanya boleh dibalas melalui kerja kuat, keikhlasan dan kesediaan untuk sentiasa bersama masyarakat.
"Saya tidak menjanjikan sesuatu yang mustahil. Apa yang saya janjikan ialah saya akan bekerja bersungguh-sungguh, turun bertemu rakyat, mendengar setiap keluhan dan berusaha mencari penyelesaian terbaik," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi DUN Tiram agar menggunakan hak mengundi pada 11 Julai ini dengan memilih calon yang mempunyai pengalaman, rekod perkhidmatan serta komitmen untuk terus membangunkan kawasan berkenaan.
"Pada akhirnya, pilihan berada di tangan rakyat. Pilihlah calon yang sudah terbukti bekerja, mempunyai pengalaman dan benar-benar ikhlas mahu berkhidmat.
"Masa depan Tiram bergantung kepada keputusan yang dibuat pada hari pengundian nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
