Bincang nasib pengusaha kenka dua bot

Abdul Yunus (kiri) menyampaikan ucapan sewaktu merasmikan program Hari Bertemu Pelanggan LKIM Peringkat Persatuan Nelayan Kerian (PNK), Kuala Kurau hari ini.
Abdul Yunus (kiri) menyampaikan ucapan sewaktu merasmikan program Hari Bertemu Pelanggan LKIM Peringkat Persatuan Nelayan Kerian (PNK), Kuala Kurau hari ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak bakal mengadakan pertemuan khas dengan Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA) bagi membincangkan nasib pengusaha kenka dua bot yang bakal dimansuhkan lesen pada tahun 2020.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, kerajaan negeri sedia maklum mengenai isu nasib pengusaha kenka dua bot yang bakal ditamatkan lesen pada tahun hadapan di mana keputusan itu dibuat kerajaan terdahulu.

Menurutnya, pihak kerajaan bagaimanapun memberi jaminan tidak akan mengambil tindakan drastik seperti memansuhkan lesen kenka dua bot sewenang-wenangnya sehinggalah masa hadapan 526 pengusaha kenka terjamin.

"Setelah PH mengambil alih, isu ini dibincangkan semula kerana ada pro dan kontra terhadap sosio ekonomi membabitkan komuniti nelayan disini.

"Justeru, kami meminta MOA menjalankan kajian semula kesan pengharaman kenka ini terhadap nelayan di sini sama ada benar-benar memberi kesan positif atau sebaliknya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan LKIM Peringkat Persatuan Nelayan Kerian (PNK),di Taman Kurau Aman,di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak, Norfajarwati Baharudin.

Abdul Yunus berkata, pihaknya bersama Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebelum ini sudah mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri MOA, Datuk Salahuddin Ayub di Putrajaya dan sempat mengutarakan isu itu kepada beliau.

Menurutnya, Jabatan Perikanan Malaysia dan LKIM turut merangka beberapa alternatif lain bagi memastikan mata pencarian rezeki pengusaha kenka dua bot tidak terjejas sekiranya lesen bot itu tetap dihapuskan pada tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

"Selepas lesen kenka dua bot bakal dihapuskan tahun hadapan, banyak rungutan diterima daripada golongan pengusaha lesen itu susulan bimbang nasib dan masa hadapan mereka.

"Bagaimanapun, ada sebahagian pengusaha kenka mula mencari alternatif lain seperti ternakan ikan sangkar bagi meneruskan kehidupan.

"Saya turut difahamkan Jabatan Perikanan menerima lebih 20 permohonan lesen Zon C daripada pengusaha kenka ini bagi meneruskan aktiviti nelayan mereka," katanya.

Abdul Yunus (tengah) mengadakan sidang media diiringi Norfajarwati (kiri).
Abdul Yunus (tengah) mengadakan sidang media diiringi Norfajarwati (kiri).

Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus menegaskan LKIM meneruskan bantuan bulanan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) kepada 40,000 nelayan seluruh Malaysia termasuk Perak.

Menurutnya pada Januari lalu, sebanyak 4,266 nelayan di Perak termasuk 1,385 nelayan di Kerian sudah menerima elaun khas tersebut.

"Sehingga Febuari lalu, sebanyak 769 nelayan di Perak diputihkan mengikut standard operasi prosedur ditetapkan.

"Hasil program pemutihan dibuat di daerah ini,sebanyak 843 penerima ESHN ini ditangguhkan, manakala 421 permohonan disokong untuk kelulusan manakala selebihnya masih belum mengemukakan borang rayuan," katanya.

Abdul Yunus berkata, program pemutihan ini penting bagi memastikan bantuan ESHN itu sampai kepada nelayan benar-benar berkelayakan.