Covid-19: 223 kes baharu kategori tiga hingga lima

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 223 daripada 30,246 kes baharu Covid-19 dilaporkan pada Rabu melibatkan kategori tiga hingga lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, baki 30,023 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua, sekali gus menjadikan kumulatif kes positif Covid-19 negara berjumlah 3,711,199.

"Sementara itu, 26,653 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 3,367,542,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 negara pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 223 kes Covid-19 kategori tiga hingga lima itu, 58 kes melibatkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 107 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

"Sebanyak 58 kes pula telah menerima dos penggalak manakala 120 kes berumur 60 tahun dan ke atas serta 53 kes mempunyai komorbid,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 1,929 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital pada Rabu melibatkan 734 kes kategori tiga hingga lima dan 1,195 kes kategori satu dan dua.

Beliau berkata sebanyak 388 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 225 kes memerlukan bantuan pernafasan sekali gus menjadikan kadar penggunaan alat itu kini 25 peratus.

Mengenai penggunaan katil kes kritikal atau ICU, Dr Noor Hisham memaklumkan tujuh negeri menunjukkan pengisian 50 peratus atau lebih, iaitu Kelantan (79 peratus); Kuala Lumpur (73 peratus); Johor (68 peratus); Putrajaya (67 peratus); Selangor (66 peratus); serta Pulau Pinang dan Perak masing-masing 51 peratus.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 negara kini ialah 1.06 dan antara negeri yang mencatat Rt tertinggi ialah Sarawak dengan 1.36 diikuti Kuala Lumpur (1.19), Terengganu (1.16), Perak (1.14) dan Negeri Sembilan (1.07). - Bernama