Gerakan Neo Nazi perlu disenaraikan sebagai pengganas

Kejadian tembak rambang di Christchurch, New Zealand mendapat kutukan dunia. -foto AP
Kejadian tembak rambang di Christchurch, New Zealand mendapat kutukan dunia. -foto AP
A
A
A

MINGGU lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan tindakan pengganas menembak jemaah solat Jumaat di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand menyebabkan 50 orang meninggal dunia dan puluhan yang lain cedera parah.

Tindakan keganasan ini dilakukan oleh Brendan Tarrant yang dikenal pasti sebagai seorang penganut ideologi ekstrem Neo Nazisme/ Fasisme.

Sebenarnya fahaman Neo Nazi ini telah banyak mencetuskan keganasan sama ada berskala besar atau berskala kecil di seluruh dunia sejak sekian lama.

Persoalannya, belum tibakah masanya kumpulan Neo Nazisme/ Facisme yang mendukung fahaman ekstrem White Supremacy ini dikategorikan sebagai kumpulan teroris? Sudah terlalu banyak jiwa manusia yang tidak berdosa terkorban disebabkan keganasan yang dilakukan oleh penganut Neo Nazi ini.

Sebagai contoh, pada tahun 1995, Timothy Mcveigh, seorang penganut Neo Nazisme telah meletupkan sebuah bangunan di Oklahoma US, menyebabkan 168 maut. Di Norway tahun 2011 Anders Breivik yang juga berfahaman Neo Nazisme telah mengebom dan menembak orang awam di dua lokasi, di mana 77 nyawa telah melayang.

Terbaharu, serangan warga Australia Brendan Tarrant di New Zealand seperti yang tersebut di atas. Ini belum dikira beberapa peristiwa tembakan rambang di banyak lokasi di Amerika Syarikat pada tahun-tahun kebelakangan ini yang juga dilakukan oleh gerakan Neo Nazi.

Jelas sekali ideologi mereka ini sesat pada tahap maksimum, kerana ia berpaksikan penegasan terhadap supremasi kaum kulit putih (bangsa Aryan) ke atas kaum lain. Mereka ini tebal dengan sifat anti semitik, rasis dan menanam kebencian serta permusuhan terhadap kaum lain yang dipandang sebagai manusia kelas bawahan.

Fahaman ini membawa naratif bahawa bangsa kulit putih adalah manusia yang termulia dan sepatutnya menguasai dan mendominasi dunia. Manakala semua kaum lain hanya layak menjadi golongan bawahan yang boleh diperlakukan apa sahaja termasuk dibunuh.

Artikel Berkaitan:

Dunia ini milik mereka dan tidak boleh dikongsikan dengan bangsa lain. Sebarang ancaman bangsa lain terhadap dominasi mereka menjustifikasikan pertumpahan darah. Inilah yang berlaku semasa pemerintahan Nazi di Jerman sebelum perang dunia kedua sehingga tercetusnya peristiwa holocaust.

Fahaman ini sesat dari awal lagi kerana ia bertentangan dengan hakikat kewujudan makhluk bernama manusia yang berhak mendapat hak sama. Ia melawan logik akal setiap manusia waras dan tiada dalam kamus ketamadunan manusia. Tindakan melakukan keganasan terhadap kaum lain atas alasan mempertahankan White Supremacy ini jelas bertentangan dengan hukum alam dan norma kehidupan itu sendiri, malah kontradik dengan semua undang-undang mereka sendiri.

Dalam konteks dunia sekarang, tiada apa pun yang dapat mengabsahkan keganasan mereka kerana merekalah yang menguasai dunia. Jadi, atas alasan apa mereka mengganas? Rasa tergugat dengan kebangkitan kaum lain atau hanya kerana takutkan bayang-bayang sendiri?

Ini berbeza dengan situasi umat Islam yang sentiasa tertindas dan ketinggalan akibat dijarah oleh Barat dan sekutunya Israel. Sekurang-kurangnya terorisme yang dilabel kepada sebahagian kumpulan dan individu daripada umat Islam ada asasnya terutama jika dinilai daripada situasi pergolakan di Palestin dan Timur Tengah yang banyak diwayangi dan oleh tangan-tangan Barat.

Punca terorisme itu memang tiada dalam ajaran Islam, cuma sebahagiannya mungkin tindak balas akibat keterdesakan dan survival umat Islam rentetan penjarahan negara mereka oleh Barat, di samping ada kumpulan yang dijelmakan oleh Barat sendiri untuk tujuan tertentu seperti ISIS.

Berbalik kepada gerakan Neo Nazi, mereka ini sudah banyak mengganas, tetapi masih tidak disenaraikan sebagai kumpulan pengganas. Media Barat hanya menggambarkan mereka sebagai “lone wolf domestic terrorist.” Mana mungkin mereka ini muncul secara individu. Serigala walaupun kadang-kadang bergerak seekor, tetapi ia datang daripada satu kawanan yang sedang memburu mangsa.

Pastinya penganut Neo Nazisme ini ada organisasinya yang diketahui oleh CIA dan para inteligen antarabangsa. Bergerak solo mungkin strategi dan taktik mereka untuk melindungi organisasi yang tersusun.

Namun yang disenaraikan sebagai pengganas hanyalah kumpulan-kumpulan daripada umat Islam yang rata-ratanya kurang dikenali dan tidak diketahui apa bentuk keganasan mereka. Sebagai contoh, US Bureau of Counterterrorism menyenaraikan 67 organisasi pengganas dan hanya 13 yang tidak melibatkan umat Islam.

Ini bermakna 80% daripada senarai itu adalah kumpulan Muslim. Australian National Security pula menyenaraikan 26 kumpulan teroris dan kesemuanya adalah organisasi daripada kalangan umat Islam!

Keganasan Neo Nazi sudah diketahui umum. Agensi Perisikan Amerika (CIA) dan Biro Penyiasatan Pusat (FBI) sudah tentu ada banyak datanya. Pengakuan seorang bekas penganut Neo Nazisme Christian Picciolini pada tahun 2017 sangat menggusarkan dan membuktikan mereka bergerak secara berorganisasi, bijak merancang untuk bertindak dan bergerak dalam bentuk yang sukar dikenal pasti.

Mereka banyak melakukan keganasan tetapi tidak dilaporkan. Mengambil kira perkembangan ini, kita tertanya-tanya kenapa pihak Amerika Syarikat dan sekutunya di barat masih tidak mahu menyenaraikan gerakan Neo Nazi sebagai pengganas? Sudah ratusan jiwa terbunuh angkara keganasan mereka, belum layakkah mereka disenaraikan?

Mungkinkah kerana mereka lahir dari rumah dan keluarga sendiri, lalu mereka dianggap suci, boleh dimaafkan dan hanya dihukum secara individu? Atau ada agenda dajal sedang dimainkan, kerana dalam perspektif eskatologi Kristian, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sendiri dikaitkan sebagai antichrist/dajal selepas Hitler! Mungkinkah gerakan Neo Nazi ini sedang mempersiapkan situasi yang kondusif untuk kemunculan dajjal? Segalanya mungkin.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fiqh Kontemporari, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya