DBKL lantik perunding reka bentuk semula parit, longkang

DBKL melantik perunding bagi mengkaji dan mereka bentuk semula parit monsun serta longkang untuk meningkatkan keupayaan infrastruktur itu bagi menampung jumlah air hujan.
DBKL melantik perunding bagi mengkaji dan mereka bentuk semula parit monsun serta longkang untuk meningkatkan keupayaan infrastruktur itu bagi menampung jumlah air hujan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik perunding bagi mengkaji dan mereka bentuk semula parit monsun serta longkang untuk meningkatkan keupayaan infrastruktur itu bagi menampung jumlah air hujan, seterusnya mengatasi masalah banjir kilat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, perunding yang dilantik diarah menyiapkan kajian itu dalam tempoh 12 bulan berdasarkan kala purata ulangan (ARI) 200 (reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun ARI kepada 200 tahun ARI) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Ini penyelesaian secara menyeluruh bagi mengatasi banjir dengan menggunakan ARI 200 sebagai asas mereka bentuk semula keupayaan sungai dan longkang termasuk longkang tepi jalan raya di Kuala Lumpur,” katanya ketika menggulung perbahasan usul mengenai banjir kilat di Kuala Lumpur pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Shahidan turut menjelaskan banjir kilat di Kuala Lumpur pada 7 Mac lepas, bukan berpunca daripada kegagalan fungsi enam kolam takungan banjir JPS di wilayah itu, sebaliknya kolam itu berfungsi dengan kapasiti mencukupi bagi menampung air hujan selain beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Enam kolam berkenaan ialah Kolam Batu di Batu; Kolam Nanyang (Jinjang); Kolam Batu 4 ½ (Jalan Klang Lama); Kolam Delima (Kepong); Kolam Taman Wahyu (Selayang); dan Kolam Taman Desa (Seputeh).

Bagaimanapun katanya, Kolam Takungan Banjir Boyan di Sungai Bunus, Titiwangsa tidak dapat menampung jumlah air hujan yang luar biasa melebihi kapasiti kolam terbabit dan berlaku limpahan air ke kawasan sekitar.

"JPS sedang melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan Pulapol (Pusat Latihan Polis) Jalan Semarak selain membina tembok penahan banjir bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, ketika hujan lebat pada Isnin, Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) diaktifkan dan proses lencongan air banjir berlangsung selama hampir enam jam dengan keseluruhan sebanyak 1.15 juta meter padu air dilencongkan.

Artikel Berkaitan:

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebelum itu meluluskan usul yang dikemukakan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai), mengenai bencana banjir kilat yang melanda Lembah Klang untuk dibahaskan Ahli Dewan Rakyat pada Rabu.

Empat Ahli Parlimen pembangkang mengambil bahagian pada sesi perbahasan usul itu iaitu Kui Lun; Ahmad Fahmi; Lim Lip Eng (PH-Kepong) dan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang rata-rata membangkitkan mengenai langkah serta mekanisme kontingensi bencana banjir kilat, bantuan yang disalurkan kepada mangsa banjir dan soal sistem amaran awal banjir.

Ahmad Fahmi mencadangkan agar kerajaan menambah baik sistem maklumat bantuan banjir melalui penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi pemakluman kepada penerima bantuan termasuk individu yang tidak layak atau tidak memenuhi kriteria menerima bantuan.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, kerajaan sedang meneliti semula mekanisme pengurusan bencana negara termasuk meminda takrifan banjir kilat sebagai kejadian bersifat bencana dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata, cadangan penstrukturan semula taktifan dan penilaian terhadap hal-hal berkaitan banjir kilat wajar dilakukan kerana kejadian itu juga adalah musibah yang dihadapi rakyat, sekali gus memudahkan lagi penyaluran bantuan kepada mangsa.

"Walaupun banjir kilat belum ditarifkan sebagai bencana (tapi) sekiranya disyorkan Jawatankuasa Bencana Wilayah atau daerah, berdasarkan impak kejadian itu (nyawa dan harta benda) serta keperluan mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara, penyaluran bantuan boleh dipertimbangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman mengakui terdapat kelemahan pada sistem amaran awal bencana khususnya dalam menentukan ketepatan lokasi potensi bencana, bagaimanapun agensi terlibat sedang menambah baik sistem itu.

Katanya, JPS juga merancang menaik taraf sistem amaran awal bencana yang baharu di lembangan sungai seluruh negara melibatkan 516 unit siren dan 155 kamera web sedia ada serta pemasangan baharu 361 kamera web dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM160 juta. - Bernama