Amanah persoal status agenda hudud Pas

Hasanuddin Mohd Yunus
Hasanuddin Mohd Yunus
A
A
A

HULU LANGAT - Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoalkan sama ada Pas pada masa ini sudah tidak lagi berjuang untuk melaksanakan hukum hudud.

Ia susulan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Pas tidak lagi bercakap mengenai isu 'potong-potong'.

Naib Presiden Amanah, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, kenyataan Muhyiddin itu pastinya mengecewakan penyokong tegar Pas yang selama ini memperjuangkan agenda berkenaan.

"Pengundi tegar Pas pasti terkejut dengan pendedahan Muhyiddin bahawa Pas tiada cakap pasal hudud lagi, mereka pasti kecewa tertipu dengan susah payah turun ke Padang Merbuk perjuangkan Rang Undang-undang 355.

"Namun lebih parah lagi apabila tiada penggunaan logo parti mereka (Pas) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Hulu Langat kepada Sinar Harian pada Rabu.

5 Mac lalu, Muhyiddin memaklumkan bagaimana Pas kini tidak lagi bercakap mengenai isu 'potong-potong' sepanjang tempoh dia menjadi Perdana Menteri pada 2020.

Kenyataan itu dibuat Muhyiddin pada majlis makan malam bersama masyarakat Cina di Johor Bahru menjelang PRN Johor yang dilihat cuba meredakan kebimbangan komuniti Cina kepada Pas.

"Ketika saya jadi Perdana Menteri, dalam parti saya dulu pun ada Pas. Tiga menteri Pas. Sekarang pun tiga menteri Pas. Ada beberapa timbalan menteri Pas.

Artikel Berkaitan:

"Ada dengar dia cerita ‘potong-potong’? Tak ada lagi cerita. Pasal apabila dia (Pas) sudah jadi kerajaan, dia faham... dia kena ambil kira ini ada Cina, Melayu, India. Ada (agama) Islam, ada Buddha, ada Hindu, dia kena jaga," katanya.

Dalam pada itu, Hasanuddin berkata, persengketaan antara Bersatu dan UMNO yang semakin parah juga menyebabkan pengundi lebih mengharapkan sebuah kerajaan lebih bertanggungjawab berbanding memberi mandat kepada golongan tamak kuasa.