Qari, qariah Hulu Langat ungguli tilawah al-Quran Selangor

Izzat Azizi (kiri) dan Nor Ruzana Natiah bersama trofi masing-masing pada Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1444H/2023M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto Bernama
Izzat Azizi (kiri) dan Nor Ruzana Natiah bersama trofi masing-masing pada Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 1444H/2023M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Guru tajwid sekolah rendah swasta, Izzat Azizi Zainal serta pengasas pusat pengajian Al-Quran, Nor Ruzana Natiah Jaafar masing-masing muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1444H/2023M di sini malam ini.

Izzat Azizi, 31, dan Nor Ruzana Natiah, 40, masing-masing mewakili daerah Hulu Langat menerima wang tunai berjumlah RM15,000 berserta piala iringan, sepersalinan pakaian dan sijil penyertaan.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim.

Izzat Azizi yang memperoleh 87.5 peratus markah mengatasi Faris Hadi Taufik (Petaling) yang mendapat 87 peratus markah, manakala Muhammad Isyraq Shahruddin (Kuala Selangor) yang merangkul tempat ketiga mewakili memperoleh 86 peratus markah merangkul tempat ketiga.

Nor Ruzana Natiah yang mendapat 88.5 peratus markah mengatasi qariah Siti Rodiah Mohamad Noor (Petaling) yang memperoleh 73.5 peratus markah, manakala Fidatul Akhmar Gosnon (Sabak Bernam) di tempat ketiga dengan 72.5 peratus markah.

Nor Ruzana Natiah juga diumum sebagai Peserta Terbaik Keseluruhan Tilawah Al-Quran, manakala Muhammad Izzul Affan Sazali dinobatkan Peserta Terbaik Keseluruhan Hafazan Al-Quran dari juzuk 1 hingga 30, dengan masing-masing membawa pulang kepingan emas bernilai RM10,000

Kedua-dua johan malam ini dijangka mewakili Selangor pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini yang dijadual berlangsung di Butterworth, Pulau Pinang pada 11 hingga 16 Jun depan. - Bernama