Wanita terus dihargai, terima ucapan istimewa 'Selamat Hari Wanita'

Rina (tengah) bergambar kenangan bersama 15 wanita yang menyertai misi pendakian ke Everest Base Camp sempena Sambutan Hari Wanita 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
Rina (tengah) bergambar kenangan bersama 15 wanita yang menyertai misi pendakian ke Everest Base Camp sempena Sambutan Hari Wanita 2022 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bertemakan 'Saksama Bersama' pada Selasa, negara meraikan Hari Wanita 2022 yang disambut serentak di peringkat antarabangsa, dan para wanita Malaysia terus dihargai dengan ucapan dan kata dorongan dari pelbagai pihak, yang komited untuk mencapai kesaksamaan bersama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dalam ucapannya di Facebook berkata, tema tersebut dipilih, selaras dengan matlamat digariskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030), bagi meningkatkan kesedaran seluruh lapisan masyarakat tentang pentingnya mencapai kesaksamaan gender.

"Hebatnya wanita sehingga seluruh dunia meraikannya. Selamat Hari Wanita 2022 kepada seluruh wanita hebat dalam Keluarga Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Rina pada Selasa telah menyempurnakan pelepasan 15 orang wanita hebat yang terdiri daripada peguam, guru, pensyarah, akauntan, pegawai bomba, penuntut universiti, pesara dan kru wanita Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang akan ke misi pendakian di Everest Base Camp sempena sambutan berkenaan.

Pendakian itu akan menghamparkan replika t-shirt sebesar 250 kali saiz XL di Everest Base Camp, melibatkan jarak perjalanan 130.22 kilometer sekali gus akan mencipta Malaysia Books of Records (MBR).

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi penulisannya di Tinta Minda Bernama berkata, apabila wanita diberikan peluang untuk mencapai potesni tertingginya, peluang negara untuk maju secara keseluruhannya lebih cerah.

Wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan juga kebajikan sosioekonomi keluarga kita. Satu kajian oleh Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mendedahkan bahawa, peningkatan pendidikan wanita menyumbangkan kira-kira 50 peratus daripada peningkatan ekonomi di negara OECD, sejak 50 tahun lepas.

"Berkaitan pendidikan, tahun lepas 58.6 peratus daripada jumlah keseluruhan projek yang telah diluluskan di bawah program dana kajian fundamental Kementerian Pengajian Tinggi diketuai wanita dan dalam pegangan jawatan di pentadbiran universiti, terdapat pelbagai universiti tempatan yang juga diterajui oleh wanita dalam jawatan Naib Cancelor dan Timbalan Naib Cancelor.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi rasa yang sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali turut mengucapkan Selamat Hari Wanita dan berterima kasih kepada mereka yang terus berjuang demi keluarga, bangsa dan negara.

"Wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan negara bukan sahaja dalam aspek ekonomi, politik dan sosial, malah merangkumi aspek pembangunan negara. Selamat Hari Wanita untuk semua wanita di luar sana di mana jua anda berada,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dalam kenyataannya berkata, wanita dan lelaki mempunyai perbezaan cabaran masing-masing, dan usaha pembaikan polisi masyarakat dalam menerima perbezaan tersebut akan mencipta peluang ke arah tanggungjawab dan hubungan yang lebih sihat.

"Mengenai pandangan masyarakat terhadap wanita, media dan pendidikan boleh memainkan peranan utama, dalam mencorakkan semula serta memperkasakan imej wanita,” katanya sambil menegaskan sudah tiba masanya sebarang tanggapan berat sebelah terhadap wanita dihapuskan.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Azril Amin berkata, Masa berharap dasar dan strategi yang memfokuskan keterangkuman gender, khususnya penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan dapat diberi keutamaan bagi mencapai kesaksamaan.

"Masa berpendapat suatu pendekatan holistik dan inklusif perlu dirangka dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan pasca pandemik, terutamanya bagi menangani isu stereotaip gender dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan keluarga.

"Kerajaan bersama-sama dengan pihak berkepentingan lain harus memberikan fokus dalam mengiktirafkan kedudukan serta sumbangan wanita secara saksama, setaraf dengan potensi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Hari Wanita. - Bernama