KIDA ringankan beban keluarga miskin

Mukhriz menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk DUN Bayu.
Mukhriz menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk DUN Bayu.
A
A
A

BALING - Program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) yang diperkenal dapat membantu meringankan beban keluarga miskin terutama di kawasan pedalaman.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bantuan diperkenalkan kepada kaum wanita yang layak itu akan memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang mengemaskini senarai penerima kad pintar KIDA untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja menerima bantuan.

"Proses kemas kini itu perlu bagi memastikan tiada penerima tercicir manakala mereka yang tidak layak akan digantikan dengan penerima lain sebagai tambahan.

"Seperti yang disebut semalam (kelmarin) ada 5,482 isi rumah miskin, tapi saya rasa jumlahnya akan bertambah selepas kemas kini dan pemutihan dilakukan dan kita cuba buat secepat mungkin dan jika ikutkan saya, saya mahu ia dilaksanakan sebelum hari raya nanti,” katanya selepas Majlis Aspirasi Ekonomi Pekebun Kecil di Padang Awam Kampung Lalang dekat sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, KIDA menggunakan mekanisme yang sama seperti program MyKasih sebelum ini, namun melalui KIDA ia menggunakan kad pintar dan bukannya MyKad bagi memudahkan suri rumah mendapatkan barangan dapur mereka.

Mukhriz berkata, bilangan kedai runcit serta premis yang akan menerima sistem kad itu juga akan diperluaskan agar memudahkan mereka mendapatkan barangan keperluan pada bila-bila masa tidak kira tempat.

Artikel Berkaitan:

"Penggunaan kad Kida akan diperluaskan di kedai-kedai runcit termasuk kawasan pinggir bandar dan kampung," katanya.

Kelmarin, Mohamed Azmin mengumumkan kerajaan bersetuju memperkenalkan KIDA dengan mereka yang layak akan diberikan kad pintar bernilai antara RM400 hingga RM500 untuk digunakan membeli barangan keperluan asas melalui peruntukan kerajaan RM30 juta setahun.