Zailah tanggung sewa rumah lima keluarga

Zailah (kiri) dan Mumtaz (tengah) bertanya khabar Che Hasniza yang kehilangan rumah ketika banjir baru-baru ini.
Zailah (kiri) dan Mumtaz (tengah) bertanya khabar Che Hasniza yang kehilangan rumah ketika banjir baru-baru ini.
A
A
A

PASIR MAS - Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof akan menanggung sepenuhnya sewa rumah lima keluarga di Kampung Tersang, di sini yang kehilangan tempat kediaman ketika bencana banjir dua minggu lalu.

Siti Zailah memberitahu, lima keluarga berkenaan difahamkan telah membuat permohonan untuk pembinaan kediaman baharu.

"Mereka yang kehilangan rumah boleh menyewa kediaman lain sementara rumah siap sepenuhnya dengan bantuan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan agensi yang terlibat.

"InsyaALLAH, saya akan menanggung sewa sehingga kediaman baharu mereka siap sepenuhnya," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau hadir mengiringi Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz dan Tengku Puan Temenggong, Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyampaikan bantuan di kampung berkenaan pada Selasa.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Zailah memberitahu, rumah yang mengalami kerosakan juga akan dibantu melalui pembinaan semula secara bergotong-royong bersama penduduk kampung.

Mengulas mengenai bantuan di Parlimen berkenaan, lebih 10,000 Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah berkenaan dibantu dengan pemberian kit makanan melalui Pusat Bantuan Asnaf Rantau Panjang sejak dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penduduk, Che Hasniza Che Omar, 45, bersyukur kerana Zailah dapat membantu meringankan bebannya sekeluarga.

Kediaman Che Hasniza merupakan rumah pusaka dan dia tidak mampu membaik pulih kerana hanya bekerja sebagai penoreh getah.