24 kenderaan rosak dihempap pokok tumbang

Insiden pokok tumbang di kawasan parkir di HCTM UKM pada Isnin. - Foto Facebook Keselamatan KKL
Insiden pokok tumbang di kawasan parkir di HCTM UKM pada Isnin. - Foto Facebook Keselamatan KKL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 24 kenderaan rosak dihempap pokok tumbang akibat hujan lebat di kawasan parkir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, anggota bomba dan penyelamat sedang giat memotong dan mengalihkan pokok itu.

"Kita juga menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan pokok tumbang dan menghalang lalu lintas di Jalan Sri Permaisuri Bandar Sri Permaisuri di sini pada jam 3.15 petang.

"Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah berada di lokasi dan sedang mengambil Tindakan mengalihkan pokok tersebut," katanya.

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf

Muhammad Idzam berkata, Jabatan Meteorologi telah meramalkan ribut petir berserta hujan lebat yang berterusan berlaku pada petang di Lembah Klang.

"Kita turut menerima laporan berkaitan empat buah kenderaan tersangkut akibat banjir di susur jalan berhampiran Menara PGRM di sini.

"Selain itu, Pekan Salak Selatan turut dilaporkan air naik sehingga paras lutut, lalu lintas untuk kenderaan di tutup sementara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Jalan Chan Sow Lin dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 berhampiran Terminal Bersepadu Selatan turut dilaporkan air naik sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Warga kota dinasihatkan jangan keluar dan duduk di dalam bangunan atau rumah kerana lalu lintas di sekitar Kuala Lumpur sesak pada ketika ini," katanya.