Ada pihak cuba ganggu-gugat kestabilan kerajaan - Tuanku Muhriz

Tuanku Muhriz berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti pada Isnin - Foto: Bernama
Tuanku Muhriz berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti pada Isnin - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA PILAH - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Isnin bertitah terdapat pihak cuba menggugat kestabilan kerajaan pada penggal lepas tanpa sebarang sebab yang munasabah sebaliknya hanya bermotifkan kepentingan peribadi.

"Sedarlah bahawa tindakan seperti ini tidak mendatangkan sebarang kebaikan malah ia menyebabkan pentadbiran negeri terjejas dan rakyat menjadi mangsa.

"Beta mengingatkan semua wakil rakyat yang telah dipilih bahawa kamu telah diamanahkan oleh rakyat untuk menyuarakan segala permasalahan serta keperluan mereka dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar atau keputusan.

"Justeru, fokus dan keutamaan kamu adalah kepada kepentingan dan perkhidmatan untuk rakyat negeri ini,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat Datuk Seri Aminuddin Harun di Istana Besar Seri Menanti dekat sini pada Isnin.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada semua wakil yang dipilih oleh rakyat untuk ke Dewan Undangan Negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu lepas.

Tuanku Muhriz menzahirkan kesyukuran kerana proses pilihan raya berjalan dengan lancar tanpa kekacauan dan kekecohan yang serius.

"Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas ADUN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang telah memberikan khidmat pada penggal yang lepas.

Artikel Berkaitan:

"Kepada calon yang tidak dipilih dalam pilihan raya kali ini, Beta berharap kamu semua terus menabur bakti dan sumbangan kepada masyarakat,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut memuji Kerajaan Negeri Sembilan yang menambah baik kualiti pengurusan dan pentadbiran terutama daripada sudut integriti serta kecekapan.

Keputusan PRN di Negeri Sembilan menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 31 kerusi iaitu PH 17 kerusi dan BN 14 kerusi manakala pembangkang iaitu Perikatan Nasional sekadar memperoleh lima kerusi. - Bernama