Farah Ann masih berteka-teki

Farah Ann
Farah Ann
A
A
A

STATUS ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi dalam pasukan kebangsaan masih menjadi tanda tanya memandangkan atlet berkenaan belum memberikan sebarang perkembangan termasuk surat persaraan kepada Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF).

Setiausaha Kehormat MGF, Afrita Ariany Nasril berkata, atlet berusia 27 tahun itu masih tersenarai untuk Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei depan.

Walaupun pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu dilaporkan tidak menjalani latihan, Afrita Ariany berkata, keputusan berhubung penyertaan Farah Ann pada temasya dwitahunan itu bergantung kepada senarai akhir yang dikeluarkan oleh pasukan kejurulatihan pada Selasa.

“Farah Ann sepatutnya menyerahkan surat persaraan namun belum berbuat demikian. Setakat ini, beliau masih dalam senarai skuad Sukan SEA namun ia bergantung kepada keputusan pasukan kejurulatihan sama ada beliau disenarai atau tidak kerana mereka akan menyediakan senarai akhir.

“Saya telah memberikan tarikh akhir kepada pasukan kejurulatihan untuk menyerahkan senarai akhir kepada saya pagi esok, sebelum saya menyerahkannya kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada tengah hari,” katanya.

Menurut Afrita Ariany, berdasarkan maklumat daripada jurulatih, atlet kelahiran Selangor itu setakat ini masih belum kembali menjalani program latihan Sukan SEA.

“Sudah tiga minggu Farah Ann tidak menyertai program latihan ke Hanoi,” katanya.

Ketua jurulatih artistik wanita kebangsaan Shu Wai baru-baru ini memberi gambaran bahawa Farah Ann telah berhenti berlatih bersama pasukan negara selama dua minggu dan berkemungkinan besar bersara.

Artikel Berkaitan:

Selasa lepas, Afrita Ariany dilaporkan berkata, Farah Ann mungkin menimbangkan untuk bersara kerana usia atau kecederaan namun MGF sedia berbincang sekiranya beliau memerlukan bantuan. - Bernama