Penantian 9 tahun berakhir, naik taraf Kompleks Sukan Labuan bernilai RM21.45 juta siap

SETELAH sembilan tahun menunggu, penduduk di pulau bebas cukai ini khususnya para atlet, peminat sukan dan persatuan sukan, akhirnya dapat menikmati kemudahan yang telah dinaik taraf dengan penyerahan rasmi Kompleks Belia dan Sukan Labuan bernilai RM21.45 juta di sini, hari ini.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, siapnya projek yang telah lama dinanti-nantikan itu merupakan satu pencapaian penting bagi komuniti sukan di pulau tersebut, yang telah mengharapkan kemudahan yang lebih baik sejak projek itu diluluskan pada 2017 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.
Beliau mengakui tempoh pelaksanaan yang panjang telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan komuniti sukan tempatan serta menekankan kepentingan perancangan projek yang rapi bagi mengelakkan kelewatan serupa pada masa hadapan.
"Sembilan tahun adalah tempoh yang lama, saya memahami perasaan penduduk Labuan dan saya berterima kasih atas kesabaran mereka.
"Pengajarannya jelas, skop dan kos projek mesti dirancang dengan teliti sejak awal lagi, supaya orang ramai tidak perlu menanggung penantian yang begitu lama seperti ini lagi," katanya pada majlis penyerahan projek tersebut di sini, hari ini.
Mohammed Taufiq berkata projek itu pada asalnya bertujuan untuk membaik pulih kolam renang namun skopnya terpaksa dikaji semula memandangkan dana yang tersedia di bawah siling peruntukan asal tidak mencukupi.
Antara 2017 dan 2021, ia melalui beberapa siri semakan yang melibatkan skop, kos dan kelulusan, sebelum komponen kolam renang digugurkan dan fokus projek dialihkan kepada kerja-kerja menaik taraf bangunan, kemudahan sukan serta infrastruktur sokongan.
Tapak projek telah diserahkan pada Disember 2021, dengan tarikh siap asal dijadualkan pada April 2024, namun setelah diberikan enam kali lanjutan masa, termasuk semasa tempoh sekatan pergerakan akibat pandemik Covis-19, kompleks berkenaan akhirnya siap pada Ogos tahun ini.
Mohammed Taufiq menjelaskan bahawa projek bernilai RM21.45 juta itu merangkumi kerja-kerja menaik taraf stadium, dewan serba guna, padang bola sepak, trek olahraga dan gelanggang sukan, di samping pembaikan struktur, infrastruktur bekalan air, pagar perimeter serta penambahbaikan akses bagi golongan orang kurang upaya (OKU).
Beliau berkata kompleks tersebut kini menawarkan 33 kemudahan untuk disewa yang merangkumi 29 kemudahan sukan dan empat kemudahan kegunaan umum termasuk padang sintetik, trek olahraga lapan lorong, empat gelanggang badminton tertutup, tiga gelanggang futsal, enam gelanggang pickleball, gimnasium dan dewan serba guna.
Menurut menteri, antara yang paling signifikan ialah trek olahraga lapan lorong yang memperoleh pensijilan Kelas 2 daripada World Athletics selepas pemeriksaan oleh perunding bertauliah yang diiktiraf oleh badan pentadbir antarabangsa itu.
"Atlet Labuan kini boleh berlatih dan bertanding di trek yang memenuhi piawaian antarabangsa tanpa perlu menyeberang laut," katanya.
Beliau berkata kompleks yang telah dinaik taraf itu akan memperkukuh pembangunan sukan peringkat akar umbi, menyediakan peluang latihan yang lebih baik untuk atlet tempatan serta meningkatkan potensi Labuan untuk menjadi tuan rumah bagi pertandingan sukan berstatus lebih tinggi.
Mohammed Taufiq berkata kerajaan Persekutuan kekal komited untuk merapatkan jurang infrastruktur sukan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
