FAM dedah sebab pilih Bojan Hodak kendali Harimau Malaya

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Bojan Hodak sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Harimau Malaya.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pemilihan Bojan Hodak dibuat selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan serta rekod pencapaiannya yang membuktikan beliau mempunyai keupayaan untuk membimbing pasukan kebangsaan.
“FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.
“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.
“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Jurulatih kelahiran Zagreb, Croatia bukanlah nama asing dalam landskap bola sepak Malaysia apabila pernah membimbing beberapa kelab tempatan termasuk UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC, selain pernah mengendalikan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun dari 2017 hingga 2019.
Antara pencapaian terbesar beliau di Malaysia adalah ketika membimbing Kelantan muncul juara tiga kejuaraan utama pada 2012 iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Beliau turut membawa JDT menjuarai Liga Super 2014 dan turut mencipta sejarah tersendiri apabila membawa Kuala Lumpur City FC menjuarai Piala Malaysia 2021 dan muncul naib juara Piala AFC 2022.
Di pentas antarabangsa, jurulatih berusia 55 tahun itu berjaya membantu skuad Malaysia Bawah 19 Tahun muncul juara Kejuaraan B-19 AFF 2018 di Surabaya, Indonesia.
Bojan Hodak turut mempunyai pengalaman membimbing kelab Kemboja, Phnom Penh Crown dan kelab Indonesia, PSM Makassar.
Terbaharu, beliau mengemudi kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung dan berjaya mencatat kejayaan meraih tiga kejuaraan liga sepanjang tempoh penglibatannya bersama kelab tersebut.
Sebelum pelantikan Bojan Hodak FAM telah mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih interim bagi menggantikan Peter Cklamovski yang telah ditamatkan kontrak melalui persetujuan bersama antara beliau dan FAM, berkuat kuasa pada 16 Jun 2026.
"FAM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe atas kesediaan beliau menerima tanggungjawab sebagai ketua jurulatih interim serta segala komitmen, usaha dan khidmat yang telah dicurahkan sepanjang tempoh mengendalikan skuad Harimau Malaya," kata Ab Ghani..
Beliau berkata, Cheng Hoe akan meneruskan khidmat bersama FAM dengan menggalas tanggungjawab baharu sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya.
"Dalam kapasiti tersebut, beliau akan terus menyumbang pengalaman dan kepakaran yang dimiliki bagi membantu memperkukuh pengurusan serta hala tuju pembangunan pasukan-pasukan kebangsaan.
"FAM menghargai profesionalisme dan sumbangan beliau serta berharap pengalaman luas Cheng Hoe dalam arena bola sepak akan terus memberikan manfaat kepada pembangunan bola sepak negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
