Banjir: Sektor pertanian rugi lebih RM10 juta

Dr Azman
Dr Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Banjir besar di Terengganu baru-baru ini menyebabkan sektor pertanian dan perikanan yang menjadi sumber utama ekonomi masyarakat musnah dengan nilai kerugian melebihi RM10 juta.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim berkata, ia melibatkan lebih 1,000 petani, penternak dan nelayan.

Beliau berkata, mereka yang terjejas teruk ialah pesawah padi dan pengusaha tembikai di Besut dan Setiu serta penternakan akuakultur di sekitar Sungai Terengganu di Kuala Terengganu.

"Kita telah membentangkan maklumat ini dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diambil perhatian dan kerajaan kini sedang mempertimbangkan jumlah sesuai untuk membantu rakyat dan sektor yang terjejas kembali bangkit.

"Bantuan itu juga diharap dapat meringankan beban mereka sama ada untuk membaiki sangkar atau infrastruktur lain yang rosak atau mendapatkan benih baharu," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2022 di sini, pada Isnin.

Menurut Azman, Terengganu merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang membuka Tabung Bencana Pertanian dengan jumlah dana tersedia sebanyak RM1 juta.

Sehubungan itu, Azman berkata, semua pemain industri yang terjejas banjir disarankan membuat laporan kepada jabatan berkaitan serta laporan polis bagi membolehkan bantuan disegerakan.

"Bantuan bukan melibatkan ganti rugi keseluruhan namun lebih tertumpu kepada pemberian benih, baja serta kelengkapan lain yang diperlukan," katanya.

Artikel Berkaitan: