Isu ceroboh Empangan Durian Tunggal 95 peratus selesai

Sulaiman (empat,kiri) menyampaikan anugerah kepada BKSA Melaka yang diwakili Faizah (lima,kiri) ketika Majlis Anugerah Projek/Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome peringkat negeri 2021 di sebuah hotel di Jalan Persisiran Bunga Raya di sini, pada Isnin.
Sulaiman (empat,kiri) menyampaikan anugerah kepada BKSA Melaka yang diwakili Faizah (lima,kiri) ketika Majlis Anugerah Projek/Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome peringkat negeri 2021 di sebuah hotel di Jalan Persisiran Bunga Raya di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka berjaya menyelesaikan hampir 95 peratus isu pencerobohan yang berlaku di Empangan Durian Tunggal.

Pengarahnya, Faizah Abdul Rahman berkata, sejak pencerobohan itu terbongkar pihaknya telah melakukan perobohan struktur dan memusnahkan tanaman-tanaman yang terdapat dalam kawasan yang digazetkan sebagai empangan tersebut.

Menurutnya, antara tindakan yang dilaksanakan termasuk menandakan 11 plot dan selesaikan proses mematikan sawit selain penanaman semula pokok-pokok hutan di kawasan empangan seluas kira-kira 50 hektar itu.

"Kebanyakan tanah dekat Empangan Durian Tunggal kita telah susun program penanaman pokok hutan yang telah dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 27 Februari lalu.

"Akan datang kita adakan program penanaman pokok hutan bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, dengan pelaksanaan projek-projek itu diyakini masalah pencerobohan Empangan Durian Tunggal boleh diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas dinobatkan johan Kategori Projek Bukan Fizikal/Program Penyediaan Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Durian Tunggal pada Majlis Anugerah Projek/Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome peringkat negeri 2021 di sebuah hotel di Jalan Persisiran Bunga Raya di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut Faizah berkata, BKSA turut menerima Anugerah Khas Juri Inovasi menerusi kajian kemungkinan pembinaan Empangan Pantai Coastal Reservior di lembangan sungai-sungai Melaka.

Menurutnya, dengan adanya kajian itu dapat merealisasikan kolam takungan persisiran pantai pertama di negara ini yang dijangka akan dilaksanakan di Lembangan Kuala Sungai Baru sekali gus mampu menyelesaikan masalah air sehingga tahun 2070.

Artikel Berkaitan:

"Kajian ini telah siap pada tahun lepas dan telah dibentangkan di peringkat kementerian untuk dapatkan peruntukan melakukan kajian terperinci bagi pelaksanaan projek ini pada masa akan datang.

"Apa pun kunci kemenangan kami ialah semangat berpasukan dan semua kakitangan BKSA memberikan kerjasama dalam menjayakan semua projek serta program yang diaturkan sama ada di peringkat negeri atau peruntukan yang disalurkan kerajaan persekutuan," katanya.

Anugerah lain yang turut dirangkul BKSA ialah Kajian Terbaik bagi Kluster Infrastruktur menerusi kerja-kerja mendalamkan Bunded Storage l dan ll Durian Tunggal serta kerja-kerja yang berkaitan di Daerah Melaka Tengah.

Selain itu, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Melaka dipilih sebagai pemenang utama Anugerah Pengurusan Projek Terbaik Tahun 2021 sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan RM5,000, trofi dan sijil.