Melaka tunggu laporan dakwaan isu pencerobohan nelayan

Muhamad Akmal (dua dari kiri) dan Ab Rauf (tiga dari kiri) ketika menyampaikan bayaran sara hidup kepada nelayan di Kompleks JAPERUN Tanjung Bidara pada Isnin.
Muhamad Akmal (dua dari kiri) dan Ab Rauf (tiga dari kiri) ketika menyampaikan bayaran sara hidup kepada nelayan di Kompleks JAPERUN Tanjung Bidara pada Isnin.
A
A
A

ALOR GAJAH - Kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan nelayan Negeri Sembilan bahawa nelayan negeri ini menceroboh kawasan perairan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana masih menunggu laporan berkenaan memandangkan persempadanan perairan nelayan dikawal selia oleh kedua-dua jabatan perikanan di kedua-dua negeri.

"Kita belum dapat lagi laporan tentang pencerobohan ini (dalam bentuk mana) kerana persempadanan perairan nelayan dikawal selia oleh kedua-dua jabatan perikanan negeri.

"Saya rasa antara dua negeri bukan pencerobohan, pencerobohan ini kalau masuk negara orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan nelayan dari tiga kampung di Port Dickson, mengenai pencerobohan nelayan Melaka yang menjejaskan tangkapan mereka.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu menyampaikan bayaran insentif sara hidup 'one-off' fasa dua dan tiga kepada 316 nelayan Melaka Barat di Kompleks JAPERUN Tanjung Bidara di sini pada Isnin.

Sementara itu, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Muhamad Akmal Saleh yang ditemui berkata, sewajarnya diwujudkan persempadan kawasan yang lebih jelas di antara dua negeri berjiran itu bagi mengelakkan masalah timbul dan berulang seperti ini.

Menurutnya, Jabatan Perikanan negeri dan Jabatan Laut Malaysia juga akan memantau dan mencari solusi terbaik berhubung dakwaan nelayan berkenaan.

Malah tambahnya, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia turut akan memantau dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti berlaku pelanggaran kawasan.

"Kadang-kadang kita tidak boleh salahkan nelayan dan janganlah cakap ceroboh, macam nelayan kita pendatang asing.

"Mereka ini kadang-kadang bila baling jaring dia hanyut sampai ke sebelah, jadi bukan niat mereka," ujarnya.