‘Rasuah seringgit pun saya tak bagi pengundi’

Mohd Shukor ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Ahad.
Mohd Shukor ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Ahad.
A
A
A

KOTA TINGGI - Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Mohd Shukor Ahmad bertekad untuk mempertahankan prinsip partinya dalam menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa di kawasan tersebut.

Beliau berkata, penekanan terhadap kedua prinsip tersebut merupakan pendekatan utama yang digunakan sepanjang tempoh berkempen di kawasan tersebut.

“Kita akan kekal prinsip. Pengalaman saya, macam rasuah seringgit pun saya tidak ada bagi pengundi.

Terus terang saya cakap,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Shukor, 61, berkata, sebagai bekas pegawai pertanian yang berkhidmat di Kota Tinggi selama 30 tahun, beliau memahami kesukaran dihadapi peneroka dan pekebun kecil yang merangkumi lebih kurang 90 peratus pengundi di kawasan tersebut.

Katanya, kenaikan mendadak harga beberapa bahan pertanian seperti baja dan racun sememangnya memberi kesan buruk kepada hasil tanaman peneroka dan pekebun kecil dan ia sekali gus turut menjejaskan kebajikan mereka.

“Contoh macam baja, tiga bulan lepas masih lagi pada harga RM95 satu beg tapi sekarang ini dah mencecah RM200.

Racun pula daripada RM180 sekarang dah naik RM620.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun sekarang harga satu tan (kelapa sawit) lebih RM1,000 tetapi kerja-kerja pembajaan mesti dibuat dua kali setahun,” katanya sambil turut menyentuh mengenai isu kenaikan harga barangan termasuk makanan asas.

Beliau yang merupakan Ketua Penyelaras Pejuang Parlimen Kota Tinggi berkata, kerajaan ketika ini dilihat tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengawal kenaikan harga bahan tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, meskipun Pejuang baru sahaja didaftarkan tidak sampai setahun, namun kebanyakan anak muda di kawasan tersebut sudah mula mengenali dan menerima kehadiran parti tersebut.

Mohd Shukor akan berdepan dengan persaingan empat penjuru membabitkan Norliza Noh yang merupakan calon Barisan Nasional (BN), Alias Rasman (PN) dan Omar Mokhtar A Manap (PKR).


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my