RISDA peruntuk RM86.57 juta pembangunan pekebun kecil getah matang

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KLUANG - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM86.57 juta pada tahun ini bagi pembangunan produktiviti dan pemasaran pekebun kecil getah matang di seluruh negara.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, ia bakal memanfaatkan 39,620 pekebun kecil yang telah menerima bantuan semula getah dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sekali gus meningkatkan pendapatan golongan itu.

"Kami fokus kepada beberapa program bagi menjayakan peningkatan pendapatan RM4,500 setiap isi rumah menjelang 2025.

"Ia termasuk Program Peningkatan Produktiviti Getah, Skim Insentif Getah dan Lateks, Pembangunan Infrastruktur Pemasaran, Pemasaran Dalam Ladang dan Rancangan Khas Pemulihan Kebun,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dividen Tanam Semula Komersial (TSK) di Simpang Renggam di sini pada Ahad.

Beliau berkata melalui skim program berkenaan, RISDA mengambi inisiatif kepada Program Pembangunan Tanam Semula yang dilaksanakan secara berkelompok di mana 30 peratus dibangunkan oleh Kumpulan RISDA Holdings atau Koperasi Pekebun Kecil sebagai ejen mengurus bagi menghasilkan lateks.

Justeru itu, RISDA menetapkan Zon Pengeluaran Lateks Pekebun Kecil dengan nisbah penubuhan sebuah Depo Pengumpulan Lateks (DPL) bagi setiap 500 hingga 1,000 hektar kawasan getah.

Beliau turut memaklumkan, harga lateks kini lebih tinggi daripada harga getah beku yang mampu meningkatkan produktiviti getah sekali gus menambah pendapatan pekebun kecil walaupun ia memerlukan kerja tambahan.

Dalam pada itu, Mohd Salim juga meminta golongan belia RISDA untuk menceburi bidang getah sementara menjalankan aktiviti ekonomi tambahan dengan menggunakan geran khas yang disediakan oleh RISDA.

Pada majlis itu, Mohd Salim menyampaikan dividen TSK Sawit kepada 52 peserta yang berjumlah RM26,000 daripada Projek TSK Kampung Parit Seraya, Pontian.

Artikel Berkaitan:

TSK adalah program tanam semula melalui penyatuan kebun kecil yang diuruskan RISDA Plantation Sdn Bhd dari peringkat pembangunan sehingga pengeluaran dan pemasaran hasil untuk keluasan sekurang-kurangnya 40 hektar. - Bernama