Selesaikan segera kemelut: MOM

Mohamad Norza ketika sidang media di ABM, Bukit Kiara pada Jumaat.
Mohamad Norza ketika sidang media di ABM, Bukit Kiara pada Jumaat.
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) meminta Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) segera meletakkan noktah kepada kemelut sepak takraw negara membabitkan dua badan induk sukan tradisi itu.

Ketika ini, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) adalah dua badan induk yang penubuhannya mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya sukan (PJS), namun ASTAF sehingga kini belum memutuskan siapa yang bakal menjadi ahli gabungan mereka.

Justeru, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, jika krisis yang berlaku terus berpanjangan ia berpotensi mengganggu gugat perkembangan sukan berkenaan.

"Saya memohon untuk ASTAF membuat keputusan yang terbaik dalam melihat senario perkembangan takraw di negara ini dan juga lebih kepada menyatukan keadaan daripada memecahbelahkan keadaan.

"Apa sahaja keputusan persatuan antarabangsa, sama ada badan Asia atau dunia mereka itu yang akan jadi badan gabungan MOM sebab kriteria kita sangat jelas bahawa siapa ingin menjadi badan gabungan kepada MOM perlu mendapat pengiktirafan badan dunia atau Asia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Petronas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara pada Jumaat.

Mohamad Norza berkata, setakat ini pihaknya belum menerima permohonan daripada MSC untuk menjadi ahli gabungan MOM memandangkan MSC perlu mendapatkan kelulusan daripada ASTAF terlebih dahulu.

"Buat masa ini MOM masih mengiktiraf PSM selagi mana PSM tidak lagi menjadi badan gabungan dan kami akan buat keputusan baru bergantung kepada kedudukan terkini apa akan dimaklumkan ASTAF kepada kami. Bagi kami setakat ini PSM adalah masih ahli gabungan MOM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, PSM dilaporkan telah melangsaikan kos sesi pendengaran panel disiplin ASTAF berjumlah AS$15,000 (RM63,886.25) yang merupakan syarat diletakkan ASTAF untuk mempertimbangkan kemasukan semula PSM sebagai ahli gabungan mereka.

Bagaimanapun, pada hari sama, Presiden ASTAF, Abdul Halim Kader dalam kenyataan badan induk Asia itu berkata: "Tidak keterlaluan kalau saya katakan, sebelah kaki MSC kini seolah-olah sudah di ambang rumah ASTAF".

Kenyataan itu dikeluarkan Abdul Halim selepas mengesahkan PJS serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan ASTAF.

Kemelut sepak takraw negara bermula apabila ASTAF menyingkirkan PSM pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu Datuk Seri Ahmad Ismail, atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Feb lepas.

Ahmad yang lebih dikenali sebagai 'Tok Mat' kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun lepas, diikuti dengan beberapa usaha dan penambahbaikan dibuat oleh persatuan itu dengan harapan untuk kembali mendapat keahlian ASTAF.

Namun, ASTAF pada awal bulan ini menegaskan tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.

Berikutan itu, PJS membenarkan MSC untuk mendapat kepercayaan ASTAF dan ISTAF, sebagai wakil Malaysia dalam sepak takraw di peringkat antarabangsa. - Bernama