'Kami ajak balik, dia tak mahu'

Nur Baizura sebak mengenangkan kejadian menimpa anak angkatnya, Misha Kasih yang berusia 11 tahun rentung dalam kebakaran.
Nur Baizura sebak mengenangkan kejadian menimpa anak angkatnya, Misha Kasih yang berusia 11 tahun rentung dalam kebakaran.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Ibu angkat kepada kanak-kanak perempuan yang rentung dalam kebakaran di sebuah kilang awal pagi Jumaat memberitahu telah mengajak mangsa pulang tidur di rumah, namun ditolak.

Nur Baizura Abu Bakar, 33, berkata, mangsa, Misha Kasih, 11, bersungguh-sungguh mahu tidur di biliknya di kilang terbabit ketika diajak pulang pada malam sebelum kejadian.

"Saya dan suami (Mohd Ridzuan Mohtar, 36) jumpa Misha sebelum pulang dari kilang, namun dia tetap mahu bermalam di situ.

"Bilik dia macam-macam ada dan selesa sebab majikan sudah anggap dia macam cucu sendiri. Dulu mak dia pun kerja di sini tetapi sudah balik Indonesia sebab tamat tempoh permit," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, dua anaknya berusia 10 dan tujuh tahun ada juga meminta untuk bermalam di kilang berkenaan semalam memandangkan di rumah tiada bekalan air, tetapi tidak jadi.

"Misha tetap tak mahu balik, selalunya musim cuti sekolah, dia balik tidur di rumah tetapi semalam dia tak mahu sebab pagi ini (Jumaat) katanya akan jumpa ibu balik, sebab isteri saya sepatutnya datang kerja macam biasa," katanya.

Jelasnya, semasa kejadian, mangsa ada menghubungi mereka kira-kira jam 4 pagi, namun panggilan itu hanya disedari selepas Subuh.

"Dia sempat lagi telefon isteri masa kejadian mungkin panik atau takut. Saya pula tidur lewat malam sebab tunggu bekalan air sampai, memang tak sedar, pagi ni kami dapat berita mengejutkan, dia dah tiada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemilik kilang, Teoh Son Kok, 70-an berkata, semasa kejadian, api terlalu marak dan dia cuba masuk semula untuk menyelamatkan mangsa, namun niat itu terhalang akibat faktor keselamatan.

"Ketika kejadian, saya dengar bunyi meletup kuat, terus terjaga dan cari jalan keluar.

"Ketika itu gelap, tak nampak apa -apa hanya api. Saya tak sangka Misha masih di dalam, kami sekeluarga amat sedih dengan kejadian yang menimpa," katanya.

Menurutnya, mangsa yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Kwang dibesarkan dengan baik dan rapat bersama cucu-cucunya yang lain dan disenangi semua pihak termasuk guru di sekolah.

Dalam kejadian terbabit, mangsa yang merupakan warganegara Indonesia ditemukan rentung atas tilam di tingkat atas premis kilang terbabit yang terletak di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah pada Jumaat.