KKM lulus penggunaan vaksin CoronaVac ke atas kanak-kanak

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan penggunaan vaksin CoronaVac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd Malaysia kepada golongan yang berumur lima hingga 11 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada Khamis.

“CoronaVac sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas.

“Ini merupakan vaksin Covid-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan kanak-kanak, di mana sebelum ini pada 6 Januari 2022 kelulusan telah diberikan kepada vaksin Comirnaty untuk vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, beliau berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat itu masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

Jelasnya, ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif.

“KKM juga sentiasa komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada produk vaksin bagi tujuan pencegahan penularan Covid-19 di Malaysia.

“Ini dengan memastikan ia dinilai sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: