KKM perjelas isu tular 2 kanak-kanak alami cerebral palsy

Kementerian Kesihatan Malaysia
Kementerian Kesihatan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu tular berhubung dakwaan dua kanak-kanak mengalami cerebral palsy selepas dilahirkan di fasiliti kesihatan milik kerajaan dan memberi komitmen untuk segera menyelesaikan siasatan mengenainya.

Dalam satu kenyataan, KKM memaklumkan pihaknya memahami kesulitan dihadapi pesakit serta keluarga dan sentiasa bersedia membantu mereka.

Kementerian itu menjelaskan kes berkenaan dikategorikan sebagai aduan kompleks dan pengurusannya dilakukan berdasarkan Guidelines on the Management of Medico legal Complaints in the Ministry Of Health, second edition 2019 yang menetapkan setiap aduan perlu disiasat pihak hospital dan kementerian sekiranya perlu.

"Semakan mendapati aduan bagi kedua-dua kes tersebut telah disiasat di peringkat hospital dan di peringkat KKM dan dalam penelitian lanjut Pejabat Penasihat Undang-Undang KKM.

"Pengurusan kes seperti ini mengambil tempoh panjang kerana perlu penglibatan pelbagai pihak termasuk pakar perubatan yang terlibat dan Jabatan Peguam Negara,” menurut KKM.

KKM memaklumkan proses pengurusan aduan itu hanya akan dihentikan sekiranya pihak pengadu atau pesakit mengambil tindakan perundangan.

Menurut kenyataan itu, KKM boleh dihubungi dari semasa ke semasa sekiranya pihak pengadu ingin mengetahui status pengurusan kes berkenaan. - Bernama