Sila log masuk terlebih dahulu.

Malaysia luluskan penggunaan pil Paxlovid untuk rawatan Covid-19

Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia meluluskan penggunaan pil untuk rawatan Covid-19 keluaran Pfizer, Paxlovid secara pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-370 yang bersidang pada Khamis.

Katanya, pil berkenaan membabitkan gabungan molekul baharu, PF-07321332 dan ritonavir antiviral HIV yang perlu diambil sebagai tablet berasingan.

"Indikasinya adalah digunakan untuk rawatan Covid-19 kepada orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen serta berisiko tinggi untuk mendapat gejala Covid-19 yang teruk (severe).

"Produk Paxlovid tidak bertujuan digunakan sebagai pengganti bagi vaksinasi Covid-19 dan tindakan kesihatan awam terutamanya pematuhan prosedur operasi standard (SOP)," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Pada Disember lalu, media melaporkan pengawal selia ubat-ubatan bawah Kesatuan Eropah (EU) membenarkan negara anggota untuk menggunakan pil baharu Covid-19 keluaran Pfizer, walaupun ubat terbabit belum diberikan kelulusan rasmi.

Ia sebagai langkah kecemasan untuk mengekang gelombang penularan pantas virus terbabit yang dipacu varian Omicron.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham menegaskan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat tersebut memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk antivirus dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Kata Dr Noor Hisham, ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk tersebut kekal positif.

"KKM akan terus komited mempertingkatkan akses rakyat kepada ubat-ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan penularan Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan," kata beliau.

Pemegang pendaftatan produk pil itu adalah Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd manakala pengilang, Pfizer Manufacturing Deutschland GambH, Jerman dan Pfizer Ireland Pharmaceuticals, Ireland.