Isu pemilikan saham: Polis masih siasat Azam Baki

Hamzah Zainuddin
Hamzah Zainuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham atas namanya yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan itu tetap diambil meskipun Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah memuktamadkan dan menutup siasatan terhadap Azam.

“Setakat ini, siasatan masih berterusan. Sehubungan itu, kementerian tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berhubung kes ini supaya tidak mengganggu siasatan yang masih berlangsung,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) bertanyakan sama ada siasatan terhadap Azam berkenaan isu pemilikan saham atas nama beliau masih berjalan, biarpun SC sudah memuktamadkan dan menutup siasatan terhadap beliau.

Pada 18 Januari lalu, SC merumuskan bahawa berdasarkan siasatan, ia tidak dapat membuktikan terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung pemilikan saham menerusi akaun dagangan Azam.

Pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam satu berkata, SC membuat kesimpulan dalam siasatannya itu berdasarkan bukti yang dikumpulkan.

Kontroversi membabitkan Azam semakin panas apabila Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Profesor Edmund Terence Gomez, meletakkan jawatan baru-baru ini susulan panel berkenaan didakwa gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Gomez dalam surat peletakan jawatannya kepada Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Tan Sri Borhan Dolah yang tular di media sosial berkata, keputusan itu dibuat kerana timbul persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak berkuasa’ dan situasi konflik kepentingan membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR),Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang akhbar khasnya mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Jelas Abu Zahar, hasil penjelasan yang dibuat Azam, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Sementara itu, Azam dalam sidang akhbar sama dilaporkan berkata, tindakan adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu.

Menurutnya, sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian.