Projek PLSB Kesban bukan punca utama banjir di Rantau Panjang

Banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas sejak Sabtu lalu dipercayai disebabkan oleh hujan lebat yang luar biasa sehingga berlaku limpahan air Sungai Golok dan bukannya akibat Projek PLSB Kesban.
Banjir di Rantau Panjang, Pasir Mas sejak Sabtu lalu dipercayai disebabkan oleh hujan lebat yang luar biasa sehingga berlaku limpahan air Sungai Golok dan bukannya akibat Projek PLSB Kesban.
A
A
A

KOTA BHARU - Projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) bukan punca utama yang menyebabkan berlaku banjir besar di Rantau Panjang, Pasir Mas di sini sejak Sabtu lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaliknya banjir di kawasan berkenaan adalah dipercayai disebabkan oleh hujan lebat yang luar biasa sehingga berlaku limpahan air Sungai Golok.

Menurut Tuan Ibrahim, pihaknya telah melakukan tinjauan di kawasan berkenaan dan dakwaan mengatakan benteng banjir Fasa 1 yang dibina menjadi penghalang air adalah tidak benar.

"Benteng tersebut sebenarnya berjaya mengurangkan banjir. Data terkini menunjukkan Fasa 1 berkenaan berjaya menyelamat 38 buah kampung di kawasan Tumpat dengan bilangan penduduk berpindah daripada 4,000 orang kepada 300 orang sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim

Satu video sebelum ini tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki yang berada di Kampung Tersang di sini meminta Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar turun padang ke kawasan Rantau Panjang untuk melihat sendiri kerosakan rumah yang didakwa akibat kesan banjir besar berkenaan.

Melalui video berkenaan, lelaki berkenaan memberitahu penduduk kampung mendakwa pembinaan benteng tersebut sebagai punca berlakunya bencana banjir di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pembinaan benteng Fasa 1 itu juga meliputi kawasan-kawasan paling rendah dan berisiko dengan limpahan air Sungai Golok.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pembinaan benteng Fasa 2 pula meliputi bandar Rantau Panjang, Kampung Lanchang sehingga ke Kampung Ayer Lanas pula untuk mengatasi masalah banjir daripada limpahan air Sungai Golok.

"Pembinaan 'floodwall' banjir seperti sebelah Thailand telah diluluskan dan reka bentuk sedang dilaksanakan dalam peruntukan tahun kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Pam-pam bergerak juga akan mula dipasang di kawasan terkesan untuk mempercepatkan air banjir dikeluarkan dari kawasan-kawasan penempatan, Insya-ALLAH," katanya.